Sunday, September 28, 2008

Antara raya ‘Hidup Melayu’ dengan raya ‘Takbir’

Slogan ‘Hidup Melayu’ sinonim dengan puak-puak berbaju merah manakala slogan ‘Takbir’ sinonim dengan pauk-puak berbaju hijau. Slogan pun tak sama dan sambutan raya juga memang tak sama.

Cuba dilihat cara puak ‘Takbir’ menyambut dengan penuh adap-adap Islam. Yang diharamkan oleh agama dihindari. Berjabat tangan antara bukan muhrim dijauhi. Muzik yang sederhana. Makan/minum tidak membazir. Berhenti solat di masjid/surau. Ziarah menziarahi kerana Allah.

Bagi puak ‘Hidup Melayu’ ni, semua orang tau. Berjabat salam perempuan / lelaki selemba je macam tak berdosa. Muzik terlampau . selalunya bersolat kat umah je, masjid dah tak nampak. Takbir memang kuat tetapi tak tau pun apa maksud takbir tersebut. Pergaulan bebas berleluasa.

Raya kali ini diharap puak ‘Hidup Melayu’ buat perubahan ikut cara puak ‘Takbir’ sambut raya. Lagi bagus sempena bulan baik ni tukar je baju ‘Hidup Melayu’ kepada baju ‘Takbir’. Sama-sama raya ikut Islam, siasah cara Islam, makan cara Islam, kahwin cara Islam, pemilihan cara Islam, perintah negara cara Islam dan semuanya cara Islam. Islam For All.

Nasihat bagus dari penasihat yang tak bagu*.

Surat khabar utama negara melaporkan, PM dalam satu majlis di Pinang Tunggal mengajak umat Islam bermuafakat dan tidak bercakaran sesama sendiri. Tahu pulak PM bahawa bersatu dapat menjadi umat yang kuat. Tidak ada salahnya dari pendapat PM ni malah inilah yang dituntut oleh agama. Yang menjadi persoalan ialah kaedah bagaimana untuk bersatu? Bersatu ala komunis atau bersatu ala nasionalis.

Seruan bersatu dari ajaran Islam. Islam juga mengajar cara untuk bersatu. Apalah yang susah sangat. Tak tau laaa bilakah puak-puak ni nak faham. Dalam quran dan hadis dah beritahu cara untuk bersatu. Tak mampu ‘Hidup Melayu’ menyatu umat, tak mampu dasar sekular membentuk muafakat. Lain tak bukan , umat Islam mesti bersatu atas dasar Quran dan Sunnah.

Memang ada perselisihan antara individu dengan individu lain, golongan dengan golongan dan parti dengan parti lain. Buang ego parti, buang ego melayu dan buang ego kedudukan. Ambil Quran dan Sunnah sebagai penentu kebenaran dan hakim. Kalau ‘Hidup Melayu’ tak selari dengan Quran, buang jauh-jauh dalam lubuk buaya. Kalau undang-undang tak selari dengan Quran campak dalam gunung berapi, biar hangus tinggal debu.

Friday, September 26, 2008

Sajak: Selamat tinggal Ramadhan.

Oh Ramadhan
Ramadhan menjelang
Hampir tenggelam
Di hujung usia
Menggamit pencinta
Gembira mendatang
Bagi yang tiada erti
Sedih mendatang
Bagi yang penuh petunjuk
Ada bernasib malang
Malang tanpa pahala
Malang tanpa perubahan
Malang tanpa kebaikan
Hanya lapar dahaga
Ada yang beruntung
Beruntung diampun
Beruntung dibersihkan
Beruntung dirahmati
Ganjaran tiada ternilai
Nilainya
Hanya laku di sana
Di sini tiada erti
Terlepas kali ini
Belum pasti bertemu lagi
Selamat tinggal Ramadhan

Saturday, September 20, 2008

Penghabisan stok: baki 30% mesti direbut.

70% telah berlalu, tinggal lagi 30% sahaja baki stok puasa yang ada. Sepuluh hari terakhir puasa mesti direbut kerana mungkin puasa kali ini adalah puasa yang terakhir buat kita. Baki 30% ini juga terkenal dengan malam lailatul Qadar.


Nabi Muhammad dalam sabdanya menyebut.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."

(Hadis sahih riwayat Bukhari)

Apakah malam Lailatul Qadar?
"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Al-Qadr:1-5)

Kita mestilah berusaha mencari malam Lailatul Qadar. Hayati sabda Rasul.
Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan."

(Hadis sahih riwayat Bukhari)

Contoh terbaik dalam menghidupkan malam Lailatul Qadar ialah amalan Rasullullah.
Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wednesday, September 17, 2008

PR berbohong?

PR dituduh berbohong menjelang kejadian ‘Malaysia Baru’ 16 september baru-baru ini. Pada masa yang sama suara-suara kebimbangan juga keluar dari orang yang sama. Kalau sudah tidak mempercayainya lagi, apa perlu dibimbangkan. Adakah 26 rakyat Malaysia juga beranggapan seperti itu?

Dalam hati kecil, puak-puak ini masih tak lena tidur memikirkan kenyataan akhbar PR pada petang 16 september yang akan mengambil tindakan susulan dalam beberapa hari dan minggu lagi. PR juga menegaskan keyakinan membentuk ‘Malaysia Baru’ .


Menjadi satu harapan yang sangat besar supaya PM dapat menerima kunjungan PR dalam masa terdekat. Biar sesuatu itu berlaku dengan aman untuk negara tercinta ini. Berilah sedikit sumbangan kepada negara, dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan negara. Seluruh rakyat mahukan negara aman, ekonomi yang adil, rasuah sifar, kehakiman telus, SPR bebas dan kehidupan yang lebih selesa.


Apa pun yang berlaku rakyat mengharapkan akan berlaku perubahan sama ada PR yang membawa perubahan atau kerajaan sedia ada yang membuat perubahan. Berubah dari sistem yang salah kepada sistem yang betul, undang-undang yang zalim kepada undang-undang yang adil, bantuan berpilih kepada bantuan yang menyeluruh. Semua perkara datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah jua.

Monday, September 15, 2008

Hilang keyakinan kepada hukum Allah

Satu perkara yang mendukacitakan berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam ialah hilangnya keyakinan kepada hukum Allah SWT.


Adalah satu perkara yang tidak munasabah dan haram berlaku di kalangan umat Islam bahawa orang-orang yang mengaku Islam, tidak yakin kepada hukum Allah bermakna juga tidak yakin kepada Allah dan tidak yakin kepada Rasullullah s.a.w.


Ini menyebabkan seseorang itu tidak yakin kepada Islam di mana dia mengaku dirinya sebagai seorang Islam.

Tidak terkumpul di dlam hati orang yang beriman dengan keraguan dan syak wasangka kepada ajaran Islam kerana syak wasangka kepada ajaran Islam dan tidak yakin kepada hukum itu adalah perkara yang boleh membatalkan iman.


Firman Allah SWT dalam ayat 65 surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Maka demi tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”

Nota: Artikel ini adalah sebahagian dari ruangan bicara dato’ seri Abdul Hadi Awang:

harakah bil 1375.

Sunday, September 14, 2008

17 September / 17 Ramadhan...

Nuzul Al Quran bererti penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Proses penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk manusia sejagat di alam buana ini. Firman Allah s.w.t. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….” ayat 185 surah al Baqarah.

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak ada syak dan waham baginya seperti Firman Allah s.w.t. “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “ ayat 1-2 surah al Baqarah.

Penegasan kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “ ayat 23 surah al Baqarah. Golongan kuffar terus gagal menyahut cabaran Allah tersebut meskipun cabaran ini telah berlangsung semenjak 15 abad yang lampau!

Benarlah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruhNya sebagai rahmat bagi sekalian alam; Benarlah Islam sebagai agama Hanif yang diperakui dan diredhaiNya sepertimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19 “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang mencakupi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat.

Kegemilangan umat Islam silam seperti yang tercatat dalam tinta sejarah dunia jelas menunjukkan bahawa kehebatan umat Nabi Muhammad adalah terhasil daripada program tamrin,tanzim dan tarbiyah Nubuwah yang terencana dengan begitu halus dan rapi sehingga terbentuknya satu generasi yang digelar sebagai Generasi Al Quran yang cukup istimewa.

Generasi Al Quran ini telah membelanjakan seluruh kehidupan mereka untuk berjihad membawa cahaya dan panji-panji kebenaran Islam agar dapat dikecapi oleh manusia sejagat. Perjuangan dan pengorbanan mereka untuk membebaskan penghambaan sesama makhluk kepada pentauhidan terhadap yang Maha Esa; Menyelamatkan kekalutan nilai sosial ekonomi zaman Jahiliyah kepada kehidupan yang aman dan sejahtera dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sesama insan….. .

Alangkah sedihnya kegemilangan ketamaddunan terbina dek Generasi Al Quran ini gagal dipertahankan kelangsungannya. Umat Islam hari ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan mereka berbanding umat lain. Bahkan mereka bercakaran sesama sendiri; Perpecahan, peperangan saudara, pertelingkahan ideologi politik, penindasan dan pembolotan hasil ekonomi dan lain-lain lagi.

Kenapa boleh terjadi segala kekalutan dan kepincangan ini ??? Jawapannya umat ini telah meninggalkan ajaran dan petunjuk Al Quran ! Al Quran tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam merencana dan menentukan hala tuju setiap program,projek dan aktiviti kehidupan insan muslim. Hawa nafsu dan logical akal mendominasi setiap tindakan dan polisi yang digubal. Terikut-ikut dan terperangkap dalam teori dan ideologi golongan kuffar dalam mengurus tadbir negara dan ehwal umat Islam ; Umat ini telah kehilangan jati diri ; Hidup miskin dalam negara yang kaya dengan sumber hasil bumi. Menagih ihsan dan menjadi pengguna hasil rekacipta sains dan teknologi bakan Islam.

Bilangan umat ini ramai sepertimana yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah tetapi umpama air buih selepas banjir yang tiada kekuatan yang terumbang-ambing; Ramai yang menjadi hidangan diratah kerakusan golongan kuffar.

Adakah ini ciri-ciri khairul ummah seperti yang digambar dalam Al Quran ? Sesungguh umat ini mulia, kuat, gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam. Mereka membaca,meneliti dan menganalisa setiap ayat suci untuk dijadikan pedoman dan kunci kejayaan segala urusan duniawi dan ukhurawi mereka. Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al Quran telah diakui oleh perdana menteri Britain yang pertama “ Selama mana kitab ini (Al Quran) berada di tangan orang Islam,maka selama itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur Tengah”

Al Quran merupakan benteng terakhir agama yang menjaga keaslian dan kebenaran Agama Allah ini. Selama mana dipetahankan ajarannya maka selama itulah Islam akan kukuh di jiwa penganutnya. Jika Al Quran telah terpisah jauh daripada umat Islam,maka akan hilanglah kekuatan umat Islam. Akan tetapi jika umat Islam berpegang teguh dengan Al Quran,musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya.

Apabila Al Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa,maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya,tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh sempena menyambut hari Nuzul Al Quran tahun ini, setiap lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau perempuan, tua atau muda,kaya atau miskin kembalilah kepada Al Quran yang maha suci ini menerusi aktiviti dan program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Usaha kembali kepada Al Quran ini perlu dilakukan secara kolektif dan terancang oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Insya’ Allah dengan kesungguhan dan kesepaduan semua lapisan umat Islam dalam menghayati ajaran Al Quran, Generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan,yang disegani kawan dan dihormati lawan bakal menjelma lagi untuk membawa panji-panji keagungan Islam ke arah pembentukan sebuah Daulah Islamiah yang baik dan senantiasa beroleh keampunan Ilahi serta menabur khidmat bakti untuk umat manusia seluruhnya. Amin !
Disediakan oleh :
Mohamad Yusof Ong bin Abdullah
Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor


Nota: artikel ini diambil dari http://www.jais.net.my

Saturday, September 13, 2008

Makmum mendahului imam antara golongan terkutuk.


Perlu difahami bahawa makmum tidak boleh mendahului imam, sama ada ketika rukuk dan sujud atau ketika bangun daripada kedua-duanya dalam seluruh kaifiyat yang lain dalam solat jamaah.

Tidak sayogia makmum bergerak serentak sama pergerakan imam. Makmum mestilah menyusul kemudian sedikit pergerakan imam.

Inilah makna mengikut imam, disiplin dan syarat yang diajar oleh Islam, terhadap mematuhi orang yang layak memimpin.

Tiada yang lebih layak jadi pemimpin melainkan nabi Muhammad s.a.w dan orang yang mematuhi jejaknya.

Ada pendapat ulama menghukumkan batal solat orang mendahului imam.

Namun imam Ghazali sendiri tidak menghukumkan demikian kerana kedudukan perkara tersebut sebagai khilaf ulama.

Setiap makmum mesti mengetahui bahawa perbuatan mendahului imam boleh membawa kepada batal solat, oleh yang demikian turutlah benar-benar sebagai membuktikan kepatuhan

Nabi Muhammad s.a.w mengecam hebat perbuatan makmum mendahului imam melalui sabdanya yang bermaksud: “Tidakkah mereka merasa gerun, makmum yang angkat kepala mendahului imam, pada hari akhirat kelak Allah SWT akan tukar kepalanya menjadi kepala khimar. Atau hendaklah dia sedar bahawa perbuatan mendahului imam itu dikutuk oleh Allah AWT.”

Makmum mendahului imam dikutuk oleh Tuhan kerana ia menunjukkan tiada kepatuhan terhadap imam. Dalam solat atau kepimpinan dalam masyarakat, sedangkan kesetiaan itu dituntut dalam Islam bagi membuktikan kesatuan ummah.


Sebahagian Mauidzah:Tn Guru Nik Aziz Nik Mat: harakah bil :1374

Kasihan MARDI.

Senarai di bawah diambil daripada laman web MARDI. Pada pandangan umum, MARDI telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam memajukan teknologi pertanian. Banyak kajian-kajian dan R&D dilakukan mendapat pengiktirafan. Kajian-kajian ini hanya menjadi pembaziran jika tidak digunakan dengan baik. Ratusan juta wang rakyat dibelanjakan.

AKTIVITI R&D KAMI SASARKAN KE ARAH :

  • Pembangunan teknologi bagi meningkat persaingan dalam industri pemprosesan makanan
  • Pembangunan teknologi dalam pengeluaran buah -buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan, bijiran dan lain- lain berkaitan dengan industri tanaman
  • Pembangunan teknologi yang berkaitan dengan industri ternakan
  • Pembangunan teknologi dalam bidang bioteknologi, mekanisasi dan juga pengurusan sumber dan persekitaran
  • Kajian sosio ekonomi dan pengurusan teknologi untuk makanan dan pertanian
  • Pemindahan teknologi dan pengkomersialan bagi meningkatkan produktiviti pertanian dan kualiti makanan, juga mewujudkan perniagaan tani yang berdaya maju

Dengan kajian-kajian MARDI ini, jika diusahakan dengan sempurna akan memberi faedah kepada negara. Rasanya tidak perlulah negara mempelajari teknologi dari negara lain. Tak perlukan hantar sepasukan manusia melawat ke negara lain untuk mempelajari teknologi. Cuaca, tanah, geografi,sumber buruh,alam persekitaran Malaysia tidak sama dengan Taiwan. Jika teknologi Taiwan mahu dibawa pulang, ia perlu disuaikan dengan keadaan Malaysia. Lebih baik diambil teknologi dari kajian MARDI yang memang sesuai dengan negara Malaysia. Tepuk dada tanya rasionalnya.

Rakyat nak lihat hasilnya.

Antara isu yang mendapat perhatian rakyat Malaysia pada masa ini ialah lawatan sebuah kelab ke Taiwan. Diberitakan lawatan ini bertujuan untuk mempelajari kemajuan bidang pertanian di negara tersebut. Dikhabarkan juga tentang berakhirnya lawatan itu lebih awal daripada jangkaan.

Rakyat nak lihat sejauh mana objektif lawatan iaitu untuk membangunkan industri pertanian di kawasan masing-masing apabila pulang ke Malaysia dapat dilaksanakan. Rakyat kira kelab ini juga melawat ke kandang-kandang babi di sana. Apa reaksi kelab tentang perancangan kerajaan Selangor untuk membuat kandang babi bersepadu dan moden.

Selepas ini, semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak wajar menjadi jelapang makanan negara. Ilmu yang dikutip dari Taiwan mesti digunakan sebaik-baiknya. Rakyat memerlukan pertolongan untuk memajukan bidang pertanian. Karenah birokrasi mesti dikurangkan.

Rakyat mesti bertanya dan minta bantuan daripada pihak yang melawat ke Taiwan kerana mereka ini ‘penuh’ dengan ilmu bidang pertanian. Andaikata lawatan ini memberi manafaat kepada petani, pesawah dan penternak, tahniah diucapkan. Andaikata lawatan ini gagal membawa perubahan, maka satu kajian semula mesti dilakukan.

Friday, September 12, 2008

Rebut bakinya.

30% ramadhan telah berlalu. Baki 70% lagi menjadi rebutan. Rebutlah sebanyak-banyaknya keberkatan ramadhan ini kerana ia tidak akan habis. Hari yang berlalu mestilah diambil pengajaran.

Berqualitikah puasa yang kita lakukan selama ini? Apa martabat solat tarawikh ? di mana tutur kata dan pandangan mata? Semua ini harus direnung supaya baki ramadhan yang ada digunakan dengan sebaik-baiknya.

Sebagai seorang yang cintakan Islam. Yang mahu Islam memerintah bukan diperintah. Ayuh marilah sama-sama bermunajat, berdoa dan bertawakal kepada Allah pencipta alam agar negara Malaysia tercinta ini melaksanakan seluruh suruhan dan meniunggalkan semua larangan Allah.

Apalah sumbangan yang dapat diberi kepada agamaNya. Berapakah sumbangan wang ringgit yang kita beri kepada Parti Islam Se-Malaysia? Berapa banyakkah tenaga yang disumbangkan kepada aktiviti jamaah? Paling “bangsat” pun berapa banyak kita berdoa untuk jamaah? Kita mesti memberi sedikit sumbangan yang termampu kepada jamaah. Semoga sumbangan yang sedikit ini, negara ini akan diperintah oleh Islam dan sumbangan kita akan dikira sebagai ibadah dan mendapat ganjaran dariNya.

MP: Dari Taiwan ke bulan pula?


Kisah MP pemerintah yang dihantar melawat ke Taiwan menimbulkan persoalan yang tidak terjawab. Nun jauh di Taiwan, namun MP ini tetap dikejar. Dilaporkan bahawa empat orang MP dari PKR menjejaki mereka di Taiwan.

Taiwan bukannya jauh sangat. Boleh sampai dalam beberapa jam dari Malaysia. Dalam benak hati ‘Pi Em’, kemanakah lagi hendak dihantar anak buahku ini. Kalau dihantar ke timur tengah atau Afrika juga dapat diikuti oleh MP PKR. ‘Pi Em’ boleh bertanya JJ kemana hendak dihantar mereka ini.

Misi menghantar angkasawan ke bulan mengambil masa yang lama. Sebelum pergi diwajibkan menjalani latihan di Rusia untuk beberapa ketika. Selepas itu barulah mereka boleh “melancong” ke bulan. Idea ini boleh digunakan oleh ‘Pi Em’ untuk menghantar MP yang disyaki untuk melacong ke bulan. Sudah tentu MP dari PKR tidak dapat mengikuti mereka ini.

Nampak gayanya semua perancangan tak menjadi. Alamat nak karam kapal ‘Pi Em’ ni. Tarikh 16 September Pasti tiba. Apa lagi perancangan yang hendak dilakukan oleh ‘Pi Em’ . Ingat, manusia merancang dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang lebih sempurna.

Thursday, September 11, 2008

16 September : ADUN melompat sama?

Tanggal 16 september akan tiba tidak berapa lama lagi. Menjadi tanda tanya, siapakah Ahli Parlimen (AP) BN yang akan melompat kepada Pakatan Rakyat (PR). Apabila AP lompat, ADUN ikut melompat atau duduk di takuk lama masih menjadi misteri. ADUN yang berjiwa rakyat akan menilai kerajaan mana yang membela rakyat. Mungkin terasa malu untuk melompat tetapi ada yang terpaksa melompat. Mungkin ada yang melompat kerana ditolak. Mungkin ada melompat kerana terkejut dan mungkin yang melompat kerana dibawa melompat.

Membangun sesebuah negeri atau negara bukan dibuat seorang individu. Ia dibangunkan oleh AP dan ADUN yang merangka dasar. Sedarilah bahawa jawatan AP atau ADUN adalah satu amanah dari Allah yang akan dipersoalkan. Jika melompatnya AP dan ADUN memberi kebaikan kepada agama dan negara, sudah pasti akan mendapat ganjaran dari Allah. Keberkatan bulan ramadhan yang di dalamnya ada keampunan dan rahmat, eloklah AP dan ADUN kembali berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah.

Perubahan yang akan dilakukan oleh AP dan ADUN akan memberi kesan kepada 25juta rakyat Malaysia. Jika dengan perubahan itu, Islam dimartabatkan maka martabatkan pahala untuk dirinya. Jika perubahan itu membawa kepada kebajikan, maka seluruh rakyat yang mendapat faedah.

Apa yang berlaku pada 16 September ini hanya Allah yang tahu. Tiada yang mustahil bagi Allah. Allah memberi kekuasan kepada sesiapa yang disukai dan Allah merampas kekuasaan itu daripada sesiapa sahaja yang Dia mahu.

Wednesday, September 10, 2008

Gaji pekerja di Asia Pasifik diramal naik.


Ekonomi di Asia dijangkakan lebih rendah

SINGAPURA: Paras gaji di rantau Asia Pasifik diramalkan meningkat tahun depan berikutan kenaikan inflasi, kata laporan firma pampasan semalam.

Paras itu dijangka meningkat dengan purata lapan peratus tahun depan berbanding 6.7 peratus tahun ini, menurut HR Business Solutions.

Kenaikan gaji di kalangan negara lebih maju termasuk Taiwan, Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura diramalkan meningkat antara 3.5 hingga 5.9 peratus, kata syarikat itu.

Sri Lanka mendahului ramalan kenaikan itu dengan 17 peratus diikuti India 16 peratus, Indonesia (12.7 peratus), Vietnam (12.4 peratus), Bangladesh (11.9 peratus) dan Pakistan (11.1 peratus).

China muncul di tangga ketujuh dengan ramalan kenaikan gaji pada 11 peratus diekori Kemboja (9.8 peratus), Filipina (sembilan peratus), Korea Selatan (lapan peratus), Thailand (7.5 peratus) dan Malaysia (tujuh peratus).

"Dengan kadar pertumbuhan ekonomi di Asia kebanyakannya diramalkan lebih rendah tahun ini berbanding tahun lalu, kadar inflasi di seluruh rantau Asia Pasifik meningkat pada paras tinggi sepanjang masa," kata syarikat itu dalam laporannya.

Pasaran buruh terus tegang di China, India dan Vietnam terutama bagi kakitangan yang layak, katanya.

Dengan lonjakan kenaikan gaji terbesar diramalkan di Sri Lanka, laporan itu berkata syarikat di negara itu menggaji pekerja baru.

Sementara di negara lain, mengambil dan melatih pekerja berkemahiran agak mencabar, kata laporan itu. - Agensi

Nota: Artikel ini diambil dari bharian.com.my untuk renungan pembaca sekalian.

Pelabur Tunggu 16 September.

Tarikh 16 september juga mendapat perhatian daripada pelabur-pelabur. Dilaporkan tentang kejatuhan Bursa Malaysia pada 9 September 2008. walaupun 6 hari lagi tarikh 16 september akan tiba, tetapi para pelabur sudah mengambil langkah berhati-hati dalam pelaburan.

Pasaran saham dijangka akan pulih jika tarikh 16 September betul-betul terjadi. Keterbukaan dan ketelusan dalam kerajaan PR ,Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang meyakinkan pelabur. Ketokohan DSAI dalam kewangan dan ekonomi memberi kelebihan. Pengalaman menjadi menteri kewangan yang berjaya sebelum ini dapat memulihkan ekonomi negara.

Dengan janji PR untuk menghapus akta-akta zalim, memberi ‘integriti’ kepada badan kehakiman, BPR, SPR dan ketelusan dalam pentadbiran menjadi faktor yang menarik perhatian para pelabur.

Ekonomi yang baik sudah pasti memberi manafaat kepada rakyat dan negara berkebajikan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Tarikh 16 September ini diharap menjadi rahmat kepada rakyat Malaysia dan pelabur-pelabur.

Tuesday, September 9, 2008

BPR “bernyawa” menghantui agensi kerajaan.


Tahniah Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana bertidak agresif sejak akhir-akhir ini. Puspakom diserang hendap, agensi-agensi lain menanti masa untuk disiasat. Pekerjaan BPR merupakan satu tugas yang besar amanahnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

BPR boleh menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat. Ia bukan sahaja menyelamatkan jutaan ringgit wang yang diperuntukkan tetapi peranannyanya juga dapat menarik pelabur asing yang berbilion ringgit. Ekonomi negara banyak bergantung kepada sejauh mana BPR menjalankan tugasnya. Sebelum ini BPR seakan-akan tidak bernyawa dan agak perlahan pergerakannya.

BPR dilaporkan akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di agensi-agensi kerajaan lain. Semangat yang ditunjukkan oleh BPR harus disambut dengan hati terbuka oleh kerajaan pusat untuk meletakkan BPR di bawah parlimen. Dengan demikian , “nyawa” yang ada akan dapat menggerakkan badan ini dengan lebih bertenaga. Apa susahnya dan apa sebabnya kerajaan pak lah enggan meletakkan BPR di bawah parlimen? Apakah takut BPR siasat kroni-kroninya atau orang tingkat 4 yang menghalangnya?

BPR akan menghantui agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi dan kementerian-kementerian yang lain. Sebahgian sahaja kakitangan kementerian atau agensi lain yang terasa dihantui. Pekerja yang bersih akan berasa selamat dengan kedatangan BPR ke tempat mereka. Mereka akan terlepas daripada subhat. Sememangnya mereka ini benci akan rasuah.

Rakyat akan sentiasa memerhatikan BPR. Apakah mereka menjalankan tugas? Apakah mereka masih melakukan penyiasatan berpilih? Apakah hanya ikan bilis dan ikan sardin yang disiasat? Semua persoalan ini akan dipantau oleh rakyat. Harapan rakyat agar ‘Majulah BPR Untuk Negara’.

Puspakom:Sistem yang “salah” atau pelaksanaan yang “salah”.


Kisah Puspakom dengan BPR belum selesai lagi setelah beberapa minggu isu ini timbul. Baru-baru ini pula satu perkara hendak dilakukan. Sistem pemeriksaan kenderaan yang kini digunapakai Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau Puspakom Sdn Bhd akan dikaji semula oleh Kemementerian Pengangkutan.

Kebanyakkan penyelewengan yang berlaku akibat daripada kelemahan dalam pelaksanaannya bukan pada sistemnya. Seperti Rukun Negara. Kelemahan tidak berlaku pada Rukun Negara itu tetapi kelemahan berlaku pada pelaksanaan mencapai Rukun Negara. Difahamkan bahawa perjumpaan wakil Pakatan Rakyat (PR) yang terbaru, menjunjung rukun negara sebagai landasan pemerintahan.

Selain pelaksanaan yang baik, pemantauan juga harus diberi perhatian. Kegagalan sistem, pelaksanaan atau pemantauan mengakibatkan pembaziran. Ia juga akan menyusahkan rakyat terutamanya rakyat miskin dan sederhana.

Adalah sangat penting untuk meletakkan BPR dibawah Parlimen supaya intergriti SPR terpelihara dan kebebasan BPR membuat keputusan. Menjadi tanggungjawab rakyat untuk menegur pemerintah untuk melihat kemajuan Malaysia yang lebih baik.

Bukan Kementerian Pengangkutan sahaja yang patut dikaji tetapi semua jabatan perlu dikaji. SPR juga mesti dikaji. Undang-undang lapok mestilah diganti dengan undang-undang yang lebih baik. Biar pengundi berasa yakin dengan peranan SPR dan seterusnya meyakinkan pelabur-pelabur luar.

Sunday, September 7, 2008

Islam Sebagai Landasan Perpaduan Kaum.


Islam membuktikan kejayaan dalam isu perpaduan kaum dan bangsa. Sejarah memperlihatkan pembukaan kota Mekah dilakukan dengan jayanya tanpa perbalahan kaum menjadi fakta yang menarik untuk dikaji. Berpuluh kaum dan bangsa ada di Mekah.

Islam menjadi penyatu antara kaum. Setiap kaum tidak rasa ditindas. Hak-hak setiap kaum dihormati. Antara kaum melayu, Cina dan India sudah pasti ada perbezaan. Malah dalam suku-suku dalam kaum yang sama pun ada perbezaan. Dalam kaum Melayu sahaja ada pelbagai jenis. Ada Melayu Jawa, Melayu Kelantan, Melayu Banjau, Melayu Kedah dan Melayu-Melayu yang lain.

Allah menjadikan perbezaan ini adalah rahmat. Islam mengajar supaya berkenal-kenalan antara satu sama lain. Individu dilahirkan oleh Allah tanpa pilihan mereka. Mereka tidak diberi pilihan untuk menjadi bangsa-bangsa tertentu. Abdullah, Najib,Hadi,Nik Aziz,Anwar tidak meminta untuk jadi Melayu. Toh Su Kon,Lim Kit Siang,Ong Tian Kiat tidak meminta jadi Cina. Samy Vellu,Gobalakrisnan,Subramanian tidak meminta jadi India. Seseorang individu tidak adil untuk dihina atas bangsa dan kaumnya.

Bagaimana Islam dalam mengulangi sejarah pembukaan Kota Mekah terletak pada umat Islam sendiri. Tegakkan Islam dalam diri sendiri, dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam bernegara. Pemimpin-pemimpin negara mesti kembali kepada Islam sepenuhnya. Selagi perpaduan ditaja atas kebangsaan, sudah pasti gagal membentuk perpaduan kaum.

Kerajaan Kelantan memberi contoh terbaik dalam isu perpaduan. Peristiwa “13 Mei” tidak berlaku di Kelantan walaupun kaum bukan Melayu dan bukan Islam menjadi minoriti pada masa itu. Selama PAS menerajui Kelantan tidak berlaku perbalahan kaum. Tahniah tok guru, tahniah Kelantan, tahniah Islam. PAS for All.

Friday, September 5, 2008

Gerakan bergerak?

Kisah bulan lepas, isu Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan, Datuk Dr Toh Kin Woon mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi tumpuan terhadap kerja amal menjadi seribu tanda tanya.

Kisah kedua tentang parti Gerakan ialah mengenai cadangan perwakilan dari Perak supaya parti itu meninggalkan Barisan Nasional menjadi beribu tanda tanya.

Kisah terbaru kisah Gerakan bukan ‘pak turut’ menjadi sejuta tanda tanya.

Gerakan akan mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya parti-parti komponennya terutamanya Umno, gagal membuat perubahan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, kata pemangku presiden parti itu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Sambil menegaskan Gerakan bukan parti "pak turut" dalam BN, Koh bagaimanapun berkata, parti itu tidak akan tergesa-gesa dalam tindakannya dan akan memberi "tempoh munasabah" sebelum mengambil sebarang tindakan.

Gerakan akan terus mendesak agar dilakukan perubahan dan pembaharuan dalam BN tetapi sekiranya usaha itu tidak berhasil, parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Kelantan di sini hari ini.

(www.bernama.com)

Apakah tanda dan ertinya apabila isu ini timbul. Pembaca dapat ramalkan apa yang digerakkan oleh Gerakan. Banyak persoalan boleh diramalkan. Isu ini tidak dapat tidak akan membuka ruang kepada tarikh peralihan kuasa 16 September.

Hak Status Universiti Apex dipersoal.

Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) kecewa apabila universiti itu tidak dipilih bagi menyertai Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (Apex), sebaliknya Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendapat status tersebut.

Presiden PAUM, Datuk Noordin Abd Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAUM hairan bagaimana universiti tertua yang juga diberi ranking dunia ke-246 diketepikan sementara USM yang ranking dunianya lebih rendah iaitu di tempat 307 dipilih untuk diberikan status itu.

Menurutnya, kajian Sistem Penarafan IPT Malaysia (SETARA) yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada April lalu mendapati UM mencapai tahap cemerlang dengan mendapat taraf lima bintang dan USM hanya mendapat taraf tiga bintang.

"UM adalah universiti tempatan yang mempunyai paling banyak program akademik yang diiktiraf oleh agensi dan pertubuhan antarabangsa dan merupakan universiti yang menerbitkan paling banyak makalah berkualiti dalam jurnal-jurnal terkemukan dunia," katanya.

Katanya, PAUM berpendapat pemilihan tersebut perlu dibuat secara lebih telus dan terbuka serta kriteria yang digunakan perlu dinyatakan dengan sebaik mungkin agar universiti tempatan yang lain tidak merasakan pemilihan tersebut tidak adil.

Bernama.com.my

Keluhan dan luahan rasa Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) berasas dan harus mendapat perhatian pihak berwajib. Jika ketelusan pemilihan universiti Apex ini diragui, dibimbangi matlamat penubuhan tidak tercapai. Ratusan juta ringgit dihabiskan, matlamat tidak kesampaian. Wang rakyat menjadi korban.

Kementerian yang terlibat mestilah bermuqabalah dengan semua IPTA untuk mencari universiti yang sesuai dinobatkan sebagai universiti Apex. Suatu perkara lagi yang dibimbangi ialah halangan akta AUKU yang mengongkong pelajar dalam menjayakan universiti Apex.

Siapa pengganti Tan Sri.


Untuk menjadi seseorang tokoh, adalah anugerah Allah kepada hambanya. Antara seorang tokoh dengan tokoh yang lain tidak sama. Dalam penulisan, isu yang sama tetapi diulas dengan berbeza antara penulis-penulis.

Ratusan dan mungkin ribuan blogger yang terdapat di Malaysia sama ada yang terkenal atau yang tidak terkenal. Daripada jumlah tersebut siapakah yang akan mewarisi ketokohan wartawan terkenal, Tan Sri Abdul Samad Ismail (Pak Samad) yang menemui Allah 4 Ogos 2008.

Kalau kita tidak sehebat Tan Sri pun, blogger-blogger boleh mengambil sebahagian dari ketokohan beliau. Keberanian beliau haruslah dicontohi. Beliau berani menulis perkara yang benar dan perkara yang mendatangkan kebaikan kepada agama dan negara.

Blogger-blogger Se-Malaysia menadah tangan, berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau bersama orang yang bertaqwa.

Sajak Ramadhan

Ramadhan
Dikau menjemput lapar
Dikau menjemput dahaga
Dikau menjemput larangan syahwat

Ramadhan
Jemputan dikau untuk siapa
Adakah untuk tuhanmu
Adakah untuk nabimu
Adakah untuk diri manusia sendiri

Ramadhan
Kedatangan dikau dinanti
Orang bertaqwa merebut peluang
Yang wajib dijaga
Yang sunnat diganda
Yang buruk dipenjara

Banjir:Unit Amal Johor harus berwaspada.


Johor dilanda hujan lebat setiap petang. Untuk itu Unit Amal Johor mesti sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir. Sejarah penghujung tahun 2006, heboh seluruh negara tentang banjir di Johor.

Jika banjir terjadi,sekali lagi Unit Amal akan menjadi tempat meminta bantuan. Jika dahulu ,panggilan ‘Tentera Merah’ meniti di bibir rakyat johor tanpa mengira agama dan bangsa.

Unit Amal Johor juga mesti memberi maklumat kepada penulis-penulis blog untuk melaporkan situasi yang berlaku. Unit Amal Johor juga haruslah segera meminta bantuan daripada Unit Amal negeri-negeri lain khususnya jirannya seperti Pahang, Negeri Sembilan ,Melaka dan Selangor.

Beramal kerana Allah yang ada dalam hati nurani ahli Unit Amal semestinya menunggu sahaja panggilan daripada pimpinan untuk menyumbang bakti. Mohon Allah turunkan hujan rahmat dan jauhi hujan bencana. Inna lillahi wainna ilai hiroji’uuun.

Monday, September 1, 2008

...berhenti sebelum kenyang.

Hari pertama berpuasa adalah ujian pertama menahan lapar dan dahaga pada tahun ini. Berapa ramai orang boleh menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi tidak dapat menahan diri dari perkara yang menghilangkan pahala puasa.

Banyak perkara untuk peringatan semua mengenai ramadhan. Perkara utamanya tentang pesanan Rasullullah tentang ‘makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang’. Semua orang berpuasa mengamalkan perkara pertama iaitu ‘makan apabila lapar’ tetapi berapa ramai yang mengamalkan perkara kedua ‘berhenti sebelum kenyang’.

Setiap perkara yang disarankan oleh Rasullullah, sedah pasti dan semestinya ada kebaikan. Jika kita bukan doktor yang boleh memahami struktur sistem penghadaman, kita boleh beramal dengan keyakinan kebenaran ucapan Rasulullah.

Petang ini bermulalah pasar ramadhan. Puluhan jenis lauk-pauk dan ratusan jenis kuih-muih dijual. Ikutkan hati, mati berbelanja. Kewangan satu faktor yang lain yang perlu dibincangkan lebih lanjut. Saranan Rasul yang perlu diambil perhatian. Saranan Rasul bukan untuk Rasul. Saranan Rasul sudah pasti untuk umat manusia. Siapa yang beramal dengan ajarannya, dialah yang mendapat pahala dan manafaatnya.

Pada hari pertama ini, marilah wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian kita sama-sama mengamalkan sunnah nabi. Semoga ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan lalu.

Dakwah PAS berkesan.


Pergerakan Pemuda Umno negeri Perak hari ini mendesak supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Islam milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.
(www.bernama.com)

Berpuluh tahun PAS yang bergerak sebagai badan siasah dan dakwah di Malaysia. Pada muktamar baru-baru ini, PAS berfungsi sebagai badan siasah, dakwah dan tarbiyyah. PAS berdakwah kepada rakan dan lawan. Berpuluh tahun jugalah PAS membela dan memperjuangkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negara.

Sesuatu yang menarik apabila pemuda UMNO Perak turut membela Sek Agama dan pondok-pondok. Ini sesuatu yang positif. Desakan pemuda UMNO ini harus ditujukan kepada semua negeri di Malaysia dan sepatutnya ditujukan khusus kepada kerajaan pusat.

Kesedaran pemuda UMNO ini mesti ikhlas dan kesedaran ini timbul hasil usaha PAS mendakwah kepada lawan. Selepas ini kerajaan PR dan lebih-lebih lagi kerajaan pusat mesti mengembalikan hak-hak SAR yang dinafikan dahulu. Kerajaan pusat mesti menarik balik fitnah yang dilemparkan kepada SAR sewaktu menarik bantuan tempoh hari. Sempena bulan ramadhan al mubarak ini, semoga SAR terbela dan seterusnya SAR membela Islam di Malaysia.

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP