Sunday, October 12, 2008

Penglibatan pelajar Islam dalam perarakan Buddha dibantah

KANGAR, 10 Okt (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) hari ini menghantar memorandum membantah penglibatan pelajar-pelajar Muslim yang menyertai pancaragam sekolah mengiringi perarakan patung berhala Baddha yang diadakan Selasa lalu.

Dalam insiden 7 Oktober lalu, seramai lapan orang pelajar Muslim Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis (SMKPs) yang terlibat sebagai ahli pancaragam telah bersama-sama mengiringi perarakan upacara keagamaan tersebut bermula dari Tokong Sayur di hadapan bangunan KWSP ke tokong di Jalan Jubli Emas antara jam 9.00 hingga 9.30 malam.

Memorandum tersebut dihantar kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis, Pengetua SMKPs, Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Negeri Perlis, Jafperi Othman serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Abdul malik Hussin.

Keempat-empat memorandum tersebut telah diserahkan sendiri oleh Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman dengan diiringi Exco DPPPs dan kawasan.

Dalam memorandum tersebut, DPPPs melahirkankan rasa kesal terhadap pengetua SMKPs yang melibatkan lapan orang pelajar Muslim sebagai ahli pancaragam sekolah mengiringi upacara keagamaan tersebut.

DPPPs juga memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan soal aqidah umat Islam.

"Dan pihak kami terkilan dengan ketidakprihatinan ini serta kurangnya sensitiviti pihak sekolah dalam memahami dan membezakan perkara umum dan perkara keagamaan.

"Kami membantah sekeras-kerasnya penglibatan pelajar Muslim kerana perkara ini boleh menjejaskan aqidah mereka dan telah mengguris hati ibu bapa mereka serta umat Islam yang menyaksikan perarakan itu khasnya dan seluruh penduduk Perlis yang meletakkan dasar negeri ini yang menjunjung tinggi al-Quran dan As-sunnah," kata Ustaz Ya'akub ketika membacakan intipati memrandum tersebut.

Selain itu, DPPPs turut menuntut pihak sekolah memohon maaf kepada ibu bapa atau waris para pelajar yang terlibat.

Di SMKPs, memorandum diserahkan kepada Penolong Kanan, Eniom a/l Endin kerana Pengetua sedang bercuti.

Eniom bagaimanapun menerima baik memorandum ini dan sedar akan kesilapan yang berlaku kerana membiarkan pelajar Muslim menyertai upacara terbabit.

Begitu juga, memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Pengarah Pelajaran, Abdul Hadi Harun serta Exco Agama diterima baik dan masing-masing berjanji untuk mengambil berat tentang hal ini.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga telah mengeluarkan surat bantahan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis berkaitan perkara yang sama.

Beliau turut membantah sekeras-kerasnya penglibatan pelajar Muslim tersebut dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera memperbetulkan keadaan ini. - mns

http://www.harakahdaily.net/

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP