Sunday, January 4, 2009

Sudah bertaraf dunia


REKOD gemilang yang dilakar dua jejaka ini, Muhd Nur Aiman Khairudin, 20 dan Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, 22, sepanjang tahun lalu membuktikan kemampuan bintang remaja itu untuk menggegar kejohanan bowling antarabangsa.

Jika Aiman meraih pencapaian cemerlang menerusi Kejohanan Remaja Dunia, Kejohanan Asia menerusi acara berpasukan dan Kejohanan Remaja Komanwel dan Terbuka Selangor dalam aksi solonya, Syafiq pula unggul mempertahankan gelaran kejohanan Klasik PBAP Bevida-Storm selain Kejohanan Remaja Dunia dan sebutir emas dari Sukan Universiti Asean (SUA) yang berakhir Disember lalu.

Pencapaian membanggakan dua atlit berkenaan sepanjang tahun ini menyebabkan timbul spekulasi hangat mereka akan diserapkan ke dalam skuad elit tetapi ketika ditanya mereka hanya menggelengkan kepala.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang surat mengatakan sama ada kami akan menyertai skuad elit tetapi jika terpilih, kami rasa gembira kerana usaha kami sepanjang tahun lalu mendapat perhatian,” kata Aiman, ketika ditemui di Pyramid Megalanes, kelmarin


Menurut Aiman, dia gembira kerana diberi peluang untuk menyertai skuad senior dalam kejohanan antarabangsa dan menyifatkannya pengalaman berguna untuk memantapkan mutu permainan.

Jelasnya, biarpun mereka berpeluang bertemu begitu ramai jaguh bowling antarabangsa menerusi kejohanan terbabit, tetapi ia bukan alasan untuk berasa rendah diri terhadap kehebatan pemain terbabit malah katanya kedua-dua mereka berjaya mengatasi pemain itu.

“Dalam setiap kejohanan, saya akan memberi tumpuan penuh terhadap permainan, frame demi frame tanpa membiarkan apa pun mengganggu tumpuan saya,” katanya, yang mencatat jatuhan peribadi dengan 1,539 pin menerusi enam permainan.

Jika Aiman bermula secara serius mulai 1999 selepas mengikuti bapanya bermain bowling bersama rakan, Syafiq yang menjadikan bowling sebagai aktiviti bersama keluarga mula menyertai kejohanan pada 2001.

“Hadiah bola bowling daripada ibu memberikan semangat kepada saya untuk menyertai bowling sehingga kini,” kata mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Kedua-duanya menjadikan pemain bowling Amerika Syarikat, Parker Bohn II sebagai idola mereka ketika kedua-duanya memulakan langkah dalam sukan bowling dan ia kekal hingga kini.

Justeru, kini tiba masa untuk mereka berdua melangkah lebih jauh dalam sukan bowling dan berbekalkan rekod 2008, mereka mahu mencatat kejayaan lebih gemilang.

Paling hampir kejohanan antara negeri dan Kejohanan Tertutup Kebangsaan minggu depan menyaksikan kedua-dua sahabat itu bersaing sesama sendiri di mana Aiman mewakili Johor dan Syafiq pula mewakili Kuala Lumpur.

Selain itu, Kejohanan Remaja Asia turut menjadi misi utama Aiman tahun ini biarpun dia mengharapkan emas dalam mana-mana kejohanan yang disertainya.

Bagi Syafiq, dia mensasarkan sekurang-kurangnya satu kejohanan antarabangsa memandangkan dia tidak dapat menyertai kejohanan remaja berikutan faktor usia.

“Jika diberi peluang saya mahu menyertai kejohanan Klasik PBAP Bevida-Storm sekali lagi dan mencapai hatrik juara dalam kejohanan itu,” katanya.

Mengenai masa lapang, Aiman gemar menonton wayang juga sesekali bermain badminton manakala Syafiq pula menghabiskan masa bersama keluarga lantaran kesibukan terhadap pelajaran dan latihan.

berita dari harian metro

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP