Saturday, March 28, 2009

14 Pasukan Bersaing Rebut Piala Emas Khir Johari

Sukan


28 Mac, 2009 18:44 PM


KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Sebanyak 14 pasukan termasuk juara bertahan Kuala Lumpur akan bersaing bagi merebut Piala Emas Khir Johari edisi ke-46 yang akan berlangsung mulai 7 hingga 11 April ini di Stadium Titiwangsa, di sini.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahaya berkata selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selebihnya adalah pasukan negeri.

"Bagi memastikan keseimbangan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir tahun lepas, iaitu Kuala Lumpur, Terengganu (naib juara), Kelantan dan Melaka (separuh akhir) akan diletakkan di dalam empat kumpulan berasingan," katanya kepada pemberita di Kompleks Majlis Sukan Negara, Keramat di sini Sabtu.

Arshad berkata kejohanan ini merupakan kejohanan pembuka tirai di peringkat kebangsaan pada tahun ini sebelum disusuli beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa yang lain.

"Semua pemain skuad elit negara dilepaskan untuk beraksi di bawah bendera negeri masing-masing kecuali beberapa pemain yang mengalami kecederaan," katanya.

Kejohanan yang diperkenalkan sejak 1962 itu akan mempertandingkan format berpasukan (tiga regu) bersaing satu pusingan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Juara akan membawa pulang piala bersama RM5,000, naib juara RM3,000 dan masing-masing RM1,000 bagi dua pasukan yang layak ke separuh akhir.

Ditanya sama ada PSM bercadang mengubah format pertandingan dengan memasukan acara-acara lain seperti beregu sejajar dengan perkembangan di peringkat antarabangsa, Arshad berkata ia tidak akan dilakukan.

"Kita telah mempunyai kejohanan-kejohanan lain untuk acara seperti beregu bagi tujuan pembangunan, jadi untuk Piala Emas Khir Johari, ia adalah bagi tumpuan berpasukan," katanya.

Mengenai ketiadaan pasukan Perlis, Sarawak dan Labuan dalam kejohanan kali ini, Arshad berkata ketiga-tiga pasukan itu mungkin mengalami masalah kewangan.

"PSM tidak boleh berbuat apa-apa kecuali memberi subsidi dari segi kos untuk memastikan mereka menyertai setiap kejohanan yang dianjurkan, cuma mereka perlulah mencari dana sendiri," katanya.

Kumpulan A: Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang.

Kumpulan B: Terengganu, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kumpulan C: Melaka, Kedah, Selangor, Johor.

Kumpulan D: Kelantan, Pulau Pinang, Perak, PDRM.



sumber: bernama.com

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP