Monday, April 13, 2009

Suhakam dijangka kekal pada penarafan gred 'A'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diberi notis kerana tidak memenuhi syarat Dasar Paris tahun lalu, dijangka tidak diturunkan taraf oleh Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa Institusi bagi Mempromosi dan Melindungi Hak Asasi Manusia (ICC).

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata beliau menjangka dan berharap suruhanjaya itu dapat kekal pada penarafan gred 'A' berikutan maklum balas diterima daripada Jawatankuasa Kecil Akreditasi ICC.

"Ketika semakan semula status negara dilakukan di Geneva 26 Mac lalu, jawatankuasa kecil terbabit berpuas hati dengan prestasi Suhakam, terutama pindaan pada Akta Suhakam baru-baru ini bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Pesuruhjaya Suhakam daripada dua kepada tiga tahun.

"Bagaimanapun, mereka agak risau dengan pindaan yang mewujudkan satu jawatankuasa untuk menasihatkan Perdana Menteri mengenai pelantikan pesuruhjaya, tetapi pada masa sama membenarkan Perdana Menteri mengabai nasihat berkenaan.

"Ini bukan sesuatu perkembangan memuaskan, tetapi sekurang-kurangnya ada penambahbaikan dan saya memohon kepada ICC supaya mengambil kira hakikat keadaan politik di sini sebelum membuat keputusan," katanya ketika dihubungi.

Dasar Paris menetapkan satu gabungan garis panduan asas yang diterima pakai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HNRI) negara tertentu.

Jika penurunan taraf dikenakan terhadap Suhakam ia bermakna badan yang pernah menganjurkan Forum Asia-Pasifik bagi NHRI tahun lalu itu, akan dilucutkan keahlian dalam forum terbabit dan kedudukannya jatuh ke tahap ahli biasa tanpa sebarang hak mengundi.

Penarafan gred 'A' bermakna sesebuah NHRI mematuhi dasar Paris dan boleh mengambil bahagian secara langsung dalam semua mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB, taraf 'B' bermakna tidak mematuhi sepenuhnya serta hanya diberi status pemerhati, manakala 'C' bermakna tidak mematuhi langsung.

Abu Talib yang kembali ke ibu negara akhir bulan lalu selepas menghadiri perjumpaan ICC di Geneva, berkata, setakat ini jawatankuasa berkenaan belum memberi sebarang jawapan.

Jawatankuasa Kecil Akreditasi ICC, yang dianggotai wakil dari Jerman, Kanada, Maghribi dan Korea Selatan, pula mahu tahu bila pindaan pada Akta Suhakam itu akan berkuat kuasa sebagai undang-undang.

sumber:http://www.bharian.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP