Monday, June 1, 2009

MAIS Cadang Kaedah Guna Pakai Syariah Islam Dalam GLC Kepada Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 1 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mencadangkan kepada kerajaan negeri Selangor kaedah bagaimana melaksanakan sistem pentadbiran dan kewangan berasaskan Syariah Islam dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi MAIS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata cadangan itu dibuat selepas mengambil kira tahap pematuhan pelanggan bank-bank Islam di Malaysia kepada Syariah, yang dianggap sebagai faktor paling penting semasa berurusan dengan bank.

"Kalau ikut tahap penerimaan terhadap konsep Syariah dalam bank-bank Islam, secara umumnya, pelanggan bukan Islam di negara ini pun sudah mula mencarum, menyumbang, menyimpan dan melabur dalam bank-bank Islam.

"Ini bermakna sistem ini terbukti berjaya di mana pelanggan seumpama itu prihatin sama ada bank-bank ini memegang prinsip-prinsip Syariah semasa menjalankan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah (Harta Haram) di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Dr Hassan berkata beliau sedang berbincang dengan tenaga-tenaga pemikir sedia ada bagi mewujudkan satu jadual pelaksanaan tentang cara-cara bagaimana menerapkan sistem kewangan Islam ke dalam sistem perancangan pembangunan syarikat GLC berkaitan.

Katanya, tenaga-tenaga mahir itu terdiri daripada pakar-pakar bidang ekonomi, kewangan dan agama MAIS dan Lembaga Zakat Selangor.

"Cadangan untuk mengaplikasikan etika perniagaan Islam dalam GLC memang akan mengambil masa panjang sebab ia melibatkan sebuah institusi," katanya yang menambah institusi antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabnagsa (IMF) mula mencadangkan kepada negara-negara Islam supaya menerima etika-etika perniagaan Islam sebagai salah satu elemen penting ketika berurusan dengan syarikat GLC.

Sementara itu beliau berkata objektif seminar tersebut adalah untuk memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat berkaitan pengurusan harta tidak patuh Syariah serta mendedahkan kepada masyarakat Islam tentang peranan Baitulmal dalam menguruskan harta tidak patuh Syariah.



sumber:http://www.bernama.com

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP