Monday, June 8, 2009

PESANAN UNTUK DEWAN PEMUDA

DEWAN PEMUDA

Hadirin dan hadirat yang dihormati,


Marilah kita menyedari bahawa asas perjuangan yang diletakkan oleh generasi yang terdahulu memerlukan golongan �syabab� sebagai penerusnya. Sehubungan dengan itu, PAS ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dewan Pemuda PAS di semua peringkat kerana terus menarik sokongan pengundi muda kepada PAS termasuk dalam pilihan raya-pilihan raya kecil yang telah berlangsung. Golongan pengundi muda ini adalah sangat penting kepada perjuangan PAS, kerana merekalah generasi yang akan mendominasi geopolitik negara di masa yang akan datang.


Berteraskan fenomena inilah, maka Pemuda PAS perlu merangka pelan untuk mengekalkan sokongan orang-orang muda daripada pelbagai latar belakang, kaum, budaya, taraf pendidikan dengan program-program yang bersesuaian, termasuk �mengakhlakkan� aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS. Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama.


Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam.


Ini adalah kerana realiti sekarang menuntut pemimpin yang bukan sahaja mempunyai ilmu, berintegriti, bahkan berkemampuan untuk mentadbir negara dan berperanan di peringkat antarabangsa. Semoga Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda yang baru dirasmikan di Kok Lanas pada bulan Februari lalu akan melonjakkan kegiatan-kegiatan tarbiah untuk melahirkan kepimpinan yang lebih baik bagi memimpin ummah.


Petugas daripada kalangan pemuda khususnya telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa dalam Himpunan Membantah PPSMI baru-baru ini. Unit Amal di bawah kelolaannya perlu meningkatkan lagi prestasi, sungguh pun telah banyak menerima pujian dan kepercayaan hasil dari tahap disiplin yang tinggi dan perkhidmatan yang diberikan.


Perkhidmatan kepada rakyat secara bermusim seperti menjelang hari perayaan dan tidak bermusim seperti bencana alam perlulah diteruskan dengan penuh iltizam tanpa batasan negeri, bangsa dan budaya. Pemuda juga perlu terus pro aktif dalam menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan.


Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat.


teks dari ucapan dasar Presiden TGHH.

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP