Friday, June 5, 2009

Semua ahli perlu faham fiqh siyasi yang diperjuang PAS

Intan Abdullah
Fri | Jun 05, 09 | 11:19:35 am MYT

SHAH ALAM, 5 Jun (Hrkh) - Walaupun PAS sangat terbuka menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS perlulah ditarbiyah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS.





"Ia merupakan satu syarat penting dalam hasrat untuk melihat PAS berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat," ujar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Stadium Melawati hari ini.

Jelasnya, ia merupakan sebuah sistem pengurusan parti yang kukuh untuk berdepan dengan cabaran yang semakin menekan di masa kini dan akan datang.

Oleh yang demikian, katanya kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk petugas ini perlulah dirancang dalam usaha melahirkan petugas yang hebat dan mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas.

"Kualiti ahli sedia ada baru juga perlu dijaga supaya mereka akan tahan ujian dan menjadi individu yang menyumbang kepada penerusan perjuangan Islam ini," ujarnya.

Selain itu, Ustaz Hadi turut menyentuh mengenai peningkatan sokongan masyarakat bukan Islam yang dahulunya janggal dengan PAS.

"Sebagai satu proses memperkasakan Kelab Penyokong PAS maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberikan kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS," katanya.

Beliau menganggap ia merupakan satu langkah bersejarah dalam parti itu sebagai paradigma baru PAS untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

"Kita juga mengiktiraf ahli kelab untuk menjadi sayap kita yang melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah lembayung PAS," jelasnya lagi.

Oleh yang demikian ujarnya lagi, PAS mestilah terus-menerus berusaha untuk mencari kaedah-kaedah yang bersesuaian, agresif dan strategik untuk memenangi kelompok undi teras yang terdiri daripada pengundi luar bandar dan desa. - mns_

artikel dari:http://www.harakahdaily.net

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP