Thursday, July 2, 2009

Pembangunan insan dan ekonomi perlu seiring









Oleh: WADIASSOFI JAAFAR dan MOHD FIRDAUS

YAN: Dua elemen utama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri ialah pembangunan insan dan pembangunan ekonomi negeri di mana pembangunan insan ialah ingin melatih rakyat agar berada dalam keadaan sihat.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, apa yang dapat kita lihat ialah kes jenayah di daerah Yan sudah menurun dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu bekerjasama dengan Rela dan Polis dalam mengawal akhlak ahli-ahli masyarakat dan remaja.

"Dari segi pembangunan ekonomi negeri, kita mengamalkan konsep Kedah Sejahtera dan hidup dalam aman, damai dan sejahtera dan kita juga akan menghadapi perkembangan terbaru iaitu pada bulan Ogos ini, majlis perasmian pecah tanah projek penapisan minyak Hub hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) di Yan akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah," jelasnya.

Beliau menjelaskan, dengan terlaksananya projek ini, Kerajaan Negeri dijangka dapat menambahkan pendapatan sebanyak RM400 juta setahun, bermula tahun 2014 nanti.

"Kita melihat keuntungan jangka panjang dengan pelan perancangan ekonomi di Kedah, kita yakin projek ini mampu memberi pulangan yang tinggi kepada negara terutama di negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Gotong-Royong Perdana Majlis Daerah Yan di Pekan Guar Chempedak, di sini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tetap mengamalkan sikap berjimat cermat dalam pentadbiran negeri dan berbelanja secara berhemah.

"Daerah Yan mempunyai potensi yang tinggi dari segi tarikan pelancong yang berupaya menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke daerah ini," katanya.

Semua pihak, katanya, perlu bekerjasama dalam usaha menjayakan hasrat berkenaan agar ianya mampu menjana ekonomi di samping memberi peluang kepada penduduk untuk terlibat dalam bidang perniagaan.

Majlis gotong-royong yang diadakan pada kali ini, jelasnya, mampu mendidik masyarakat agar mencintai alam sekitar yang bersih dan indah.

"Budaya bergotong-royong seperti ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa agar persekitaran berada dalam keadaan bersih dan secara tidak langsung, masyarakat terhindar daripada sebarang penyakit berjangkit," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri turut merancang untuk membina rumah kos rendah kepada 23,000 rakyat yang tergolong dalam keluarga miskin di negeri ini.

"Kerajaan Negeri akan memikirkan cara bagaimana untuk merancang dalam melaksanakan perkara itu," tambahnya.

teks dari: www.kedah.gov.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP