Thursday, August 6, 2009

Guru Pasti diminta ikut arahan



KUANTAN – Kakitangan dan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) negeri ini diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang melakukan pemeriksaan H1N1 bagi mengelakkan wabak itu merebak.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua guru terbabit perlu mengetahui perkembangan penyakit itu supaya dapat menangani jangkitan dalam kalangan kanak-kanak Pasti.

Menurutnya, guru juga diingatkan supaya mengenal pasti kanak-kanak yang terbabit dengan simptom penyakit itu.

“Kita mahu guru bekerjasama dengan pegawai Kementerian Kesihatan jika mereka datang melakukan pemeriksaan. Ia penting demi kesihatan kanak-kanak dan mengikut arahan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini beliau belum dimaklumkan mengenai jangkitan penyakit itu di semua Pasti negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, semua Pasti perlu mengikut prosedur yang ditetapkan kementerian itu dan sekiranya diarahkan tutup, guru perlu berbuat demikian.

“Kita tahu perkara ini serius dan sudah banyak sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) diarahkan ditutup.

“Pengurusan Majlis Guru Pasti mengalu-alukan cadangan kementerian itu jika ada kes H1N1 di pusat asuhan terbabit,” katanya.

Sehingga kini, lima sekolah di negeri ini ditutup manakala empat IPT dicadangkan penutupannya berikutan beberapa aduan penuntutnya demam dan selesema.

Sekolah yang diarahkan ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis; Sekolah Menengah (SM) Abdul Rahman Talib, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub; SMK Sri Jengka, Maran dan SMK Tanjung Lumpur, Kuantan.

IPT yang kini dalam penangguhan sesi pengajian pula ialah Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Profesional, Mara, Indera Mahkota Universiti Malaysia Pahang (UMP), manakala Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah pula menangguhkan pendaftaran pelajar baru yang sepatutnya diadakan Ahad dan Isnin lalu.

sumber:sinar harian

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP