Thursday, September 10, 2009

Hari Hak Asasi Mengingatkan Hak Setiap Individu

07 September, 2009 18:01 PM


SEMPENA PERSIDANGAN HARI HAK ASASI MALAYSIA 2009, PADA 9 SEPT

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Tanggal 9 Sept merupakan Hari Hak Asasi Manusia Malaysia dan kali ini tarikh itu lebih istimewa kerana ia juga menandakan genap sedekad hak asasi setiap insan di negara ini menerima pengiktirafan rasmi dengan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tetapi persoalannya ialah sejauh mana pencapaian negara dan kefahaman orang ramai dalam menghayati isu hak asasi ini?

Suhakam merupakan institusi tunggal yang diberi kuasa di bawah undang-undang untuk bertindak memelihara, melindungi dan mempromosi hak asasi manusia di Malaysia.

"Ia dilihat sebagai sebuah institusi yang penting tetapi sama ada ia berjaya mengubah keadaan atau kedudukan hak asasi manusia di negara ini tertakluk kepada pendapat masing-masing dan boleh didebatkan," kata Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun dalam temubual baru-baru ini.



CABARAN



Menurut Simon cabaran terbesar yang dihadapi Suhakam sehingga ini ialah bagaimana menunaikan harapan rakyat yang begitu tinggi sedangkan Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusan.

Suhakam hanya boleh mengemukakan syor, menguatkan suara dan memberi nasihat. Setakat ini sembilan laporan tahunan Suhakam telah dikemukakan ke Parlimen, yang mengandungi aktiviti serta perkara yang dirujuk kepada Suhakam, tindakan yang diambil dan syor-syor oleh Suhakam.

"Malangnya sehingga kini kesemua sembilan laporan tahunan ini belum lagi dibincang atau didebatkan dalam Parlimen," katanya.

Cabaran lain Suhakam sepanjang 10 tahun penubuhannya ialah membetulkan persepsi orang ramai mengenai Suhakamyang kadang-kadang kurang tepat.

"Ada yang menganggap Suhakam proPembangkang, proKerajaan atau NGO. Tetapi di sini saya ingin jelaskan sebenarnya Suhakam bukannya prokerajaan, bukan pembangkang, bukan proNGO dan bukan pro sesiapapun. Hanya proHak asasi manusia," katanya.

"Kalau kami fikir pihak kerajaan misalan pihak polis melanggar hak asasi manusia, kami tidak dapat menerima tindakan mereka itu. Tidak kira siapa yang melanggar hak asasi manusia kami buat kenyataan yang kami fikir mencerminkan keadaan sebenar," katanya.

Jadi Suhakam merupakan sebuah institusi yang bebas dan bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.

Cabaran lain Suhakam ialah bagaimana memujuk kerajaan dan institusi-institusi kerajaan agar memberi perhatian kepada syor-syor Suhakam yang telah dikemukakan sejak penubuhannya, yang pada pandangan Simon sambutannya dingin sekali dan kurang menggalakkan.

Selain itu kenyataan-kenyataan mengenai hak asasi manusia yang dibuat oleh Suhakam juga kurang mendapat sambutan akhbar arus perdana berbanding di internet.

Suhakam juga menghadapi masalah kekurangan petugas dan pegawai yang betul-betul berkelayakan dan berpengalaman berhubung dengan hak asasi manusia.

TERBAIK DI ASEAN

Walau apapun tahap kesedaran hak asasi manusia di Malaysia jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan negara maju di Eropah masih ketinggalan.

Menurut Simon, nilai hak asasi manusia ini juga mencerminkan tahap demokrasi di sesebuah negara iaitu semakin lama demokrasi diamalkan dan tinggi penghormatan terhadap hak asasi manusia maka tumpuan adalah kepada kebebasan individu.

Di Malaysia hak asasi banyak tertumpu kepada kepentingan komuniti berbanding individu kerana pencapaian kemajuan hanya setakat itu.

Sekiranya pencapaian pembangunan daripada segi politik, ekonomi dan budaya telah meningkat seperti di negara-negara Eropah Barat dan Amerika, mungkin Malaysia juga akan berada pada kedudukan yang sama.

Tetapi kalau dibandingkan dengan negara anggota Asean yang lain seperti Myanmar, Singapura dan Kemboja, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik daripada segi hak asasi manusia, katanya.

Memandangkan proses memperjuang hak asasi manusia ini diteruskan, beliau berharap akan wujud sebuah masyarakat yang betul-betul berbudaya menghormati hak asasi manusia di masa akan datang.

SAMBUTAN HARI HAK ASASI MANUSIA



Tetapi mengapa sambutan Hari Hak Asasi Manusia Malaysia diadakan pada 9 Sept setiap tahun?

Tarikh 9 Sept menjadi pilihan bagi sambutan tahunan peringkat kebangsaan kerana angkanya mudah diingati di samping pada tarikh itu juga Suhakam diwujudkan untuk memperkembang, mempromosi dan memberi perlindungan hak asasi manusia bagi penduduk Malaysia.

Objektif sambutan kali ini ialah untuk:

*mengkaji semula status hak asasi manusia di negara ini sepanjang 10 tahun lepas;

*mengenal pasti cabaran yang menghalang pencapaian dan peningkatan taraf hak asasi manusia; dan

*mencadang, membincang dan mengenal pasti pendekatan yang paling sesuai untuk membolehkan kerajaan mengadakan satu pelan tindakan nasional hak asasi manusia.

Sambutan kali ini, di Kuala Lumpur, akan dimulakan dengan ucaptama oleh Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Othman dan disusuli dengan pembentangan oleh empat anggota panel sebelum sesi penggulungan oleh Simon.


sumber:bernama.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP