Wednesday, May 19, 2010

Lagi cadangan yang menyusahkan rakyat.

Terkejut juga apabila membaca berita di bawah. Lagi cadangan yang menyusahkan rakyat. Rata-rata pengguna kereta "lama" dan kereta terpakai digunakan oleh rakyat golongan bawahan dan pertengahan. Bagi golongan kaya, beli kereta macam beli kereta mainan je. Bila rosak, beli yang lain atau 'takdan' rosak lagi dah tukar yang lain. Lagi Rakyat Didahulukan.


Kaji semula henti import alat terpakai


2010/05/19
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan melarang pengimportan alat ganti serta komponen terpakai untuk kenderaan, berkuat kuasa Jun tahun depan akan menjejaskan industri itu yang bernilai hampir RM10 bilion membabitkan 5,000 ahli perniagaan dan 100,000 pekerja di negara ini, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar baru itu akan turut memberi kesan besar yang menyusahkan ramai pemilik, khususnya kenderaan terpakai kerana hanya terbatas kepada pembelian alat ganti dan komponen baru yang jauh lebih mahal.
“Bidang perniagaan ini amat besar, malah Malaysia kini adalah hab di rantau Asia dengan mengimport dan mengeksport sebahagian daripadanya ke negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, Singapura dan Jepun.
“Kita bangga atas pencapaian mereka dan kerajaan tidak harus membuat penguatkuasaan yang boleh menjejaskan perniagaan itu tanpa memahami secara mendalam isu berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelbagai persatuan alat ganti serta komponen kenderaan di Wisma MCA di sini, semalam.

Dr Chua berkata, kerajaan mencadangkan larangan pengimportan itu atas dua alasan, iaitu untuk memastikan keselamatan pengguna dan memelihara alam sekitar.

Bagaimanapun, dalam konteks ini, beliau berkata, aspek keselamatan untuk sebahagian besar alat ganti serta komponen kenderaan amat sukar untuk dinilai, kecuali item utama seperti kotak gear dan pencengkam brek.

Berikutan bantahan serta kebimbangan terhadap kesan cadangan itu, katanya, persatuan terbabit sedang menyediakan memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, secepat mungkin.
“Kementerian berkaitan juga harus mengadakan perjumpaan dengan pemimpin persatuan untuk memahami isu yang dihadapi secara lebih dekat. Kita dimaklumkan, setakat ini hanya sekali mereka dapat berjumpa dengan seorang pegawai (berhubung perkara itu),” katanya.


berita dari:bharian.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP