Friday, June 4, 2010

Larangan judi bola semua PBT

SHAH ALAM- Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan secara rasmi kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor supaya tidak meluluskan permohonan lesen premis perjudian bola sepak Piala Dunia di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, keputusan larangan perjudian di negeri itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Exco kerana ia adalah haram serta merosakkan moral masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

“PBT mempunyai kuasa untuk tidak mengeluarkan lesen premis perjudian ini dan keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, tindakan Kerajaan Pusat meluluskan lesen berkenaan akan menambah lagi ‘penyakit’ sosial dan ia tidak akan menyelesaikan perjudian secara haram yang dijangka berleluasa sepanjang perlawanan itu berlangsung.

“Dengan keputusan ini, semua 12 PBT akan mengikut arahan itu dan Selangor akan bebas dari perjudian sepanjang perlawanan itu berlangsung,” katanya.

Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dua polisi baru iaitu Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan Pakatan Integriti (Integrity Pact) bagi mengekalkan pentadbiran yang bersih dalam menangani isu rasuah.

Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat itu akan dijadikan kayu pengukur untuk menilai keberkesanan dan kemajuan yang telah dicapai Kerajaan Selangor setiap tahun berdasarkan prinsip pentadbiran cekap, telus dab amanah.

“Indeks ini akan membolehkan kita (Kerajaan Negeri) maklum kedudukannya dari segi pentadbiran dan pada masa yang sama rakyat Selangor boleh menilai komitmen Kerajaan Negeri terhadap dasar,” katanya.

Integrity Pact pula akan digunakan untuk tujuan pencegahan dalam kontrak dan tender awam dan telah terbukti membantu kerajaan, perniagaan dan masyarakat dalam usaha membasmi rasuah.

Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang akan membuat pelaksanaan kedua-dua polisi tersebut.

“Kita berharap maklumat dan panduan yang diberikan oleh TI-M dapat digunakan membangunkan kedua-duanya (polisi).

“Kita akan menjadikan dua polisi ini sebagai satu hala tuju untuk kita mengekalkan pentadbiran yang bersih dan telus serta boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat atau juga Kerajaan Pusat,” katanya.

Abdul Khalid berkata, Selangor akan muncul negeri pertama yang mempunyai Indeks Integriti di negara ini.

“Pada masa ini, Kerajaan Malaysia tidak termasuk dalam Indeks Integriti Global,"katanya.

sinarharian.com.my

negeri Pahang tak nak ikut ke langkah Selangor ni atau Pahang dah jadi "darul Judi"

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP