Friday, November 21, 2008

Azizan sumbang gaji RM10,000 sebulan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar, kata seorang pemimpin PAS negeri.

Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas, kata timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, Hassan Abdul Razak.

Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hassan mendedahkan amalan Azizan itu bagi menyangkal dakwaan pesuruhjaya PAS itu bermewah-mewah selepas menjawat kerusi nombor satu dalam pentadbiran Kedah.

Hassan menambah, potongan itu diumumkan pertama kali dalam program taklimat dasar-dasar kerajaan kerajaan negeri di ibu negeri apabila dibangkitkan PAS kawasan Alor Star, 14 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan sebelum ini kerana "(hendak) membuat kebaikan tidak perlu dihebah-hebahkan".

Ahli-ahli akar umbi PAS negeri baru-baru ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS Kedah.

Malaysiakini difahamkan, dalam pertemuan minggu lepas, menteri besar dan kerajaan Kedah mendapat kritikan pedas wakil-wakil PAS kawasan sehingga beliau diminta menyerahkan portfolio agama yang dipegangnya kepada exco lain.

Azizan juga turut dituduh gagal memperkasakan pelaksanaan Islam yang diperjuangkan PAS seperti membiarkan pusat hiburan beroperasi sehingga lewat pagi dan arak dijual bebas di Langkawi.

Pegawai kerajaan pula didakwa mendapat layanan istimewa daripada menteri besar berbanding pegawai lantikan politik.

Selain itu, Azizan dan barisan exco dikatakan selalu memberikan alasan sibuk sehingga susah ditemui rakyat tetapi didakwa rajin bermain golf.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan berkata, selain soal kepemimpinan Azizan, kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) antara perkara utama yang dibangkitkan.

Selain itu, tambahnya, PAS Kedah didakwa "bongkak dengan PKR".

Bagaimanapun, kata Hassan, perkara itu dijelaskan oleh menteri besar di hujung program di Kompleks Alor Star.

Wakil-wakil PAS daripada 15 kawasan di seluruh Kedah turut dikatakan berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Sehubungan itu, Hassan berkata, kritikan kepada kerajaan negeri merupakan salah faham dan dibuat berdasarkan "cakap-cakap di kaki lima".

Menurutnya, dalam pentadbiran kerajaan, ada perkara yang telah dibuat tetapi belum diumumkan dan ada yang belum dibuat tetapi telah dirancang dan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Komen-komen itu, termasuk yang pedas dan negatif, diusulkan secara bertulis oleh wakil-wakil PAS kawasan tanpa menyatakan nama pengemuka soalan-soalan tersebut.

Komen-komen di pertemuan tertutup ini bagaimanapun terbocor kepada umum, termasuk Umno dan pihak media.

Hassan kesal kerana dokumen yang dianggap sulit itu telah “dicuri pihak tertentu”.

Majlis sumbang saran kali ketiga itu dihadiri wakil-wakil PAS kawasan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli-ahli parlimen PAS Kedah.

Majlis itu merupakan susulan selepas pertemuan Ogos lalu, sementara perjumpaan pertamanya diadakan sejurus selepas kemenangan parti itu dalam pilihanraya umum, Mac lalu.

PAS negeri merancang menjalankan sesi taklimat dasar-dasar kerajaan negeri kepada jentera parti empat kali setahun.


sumber: http://www.malaysiakini.com/news/93497

Wednesday, November 19, 2008

Amaran Ribut Petir Dan Hujan Lebat

Hujan sederhana yang kini berlaku kadangkala dari semasa ke semasa di Kelantan, Terengganu serta Pahang dijangka berterusan sehingga petang Sabtu, menurut Jabatan Meteorologi di sini.

Keadaan itu berlaku di daerah Kota Baharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan, di daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Keadaan yang sama turut berlaku di Pahang, daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh, menurut kenyataan jabatan itu.

Kenyataan itu menambah keadaan tersebut boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah dan tebing sungai.

Hujan lebat dan ribut petir beserta angin kencang yang berlaku di Pulau Pinang, Selangor, daerah Sepang, Klang dan Kuala Langat, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, daerah Kuala Pilah, Seremban, Rembau dan Port Dickson, Melaka dan Johor Barat dijangka berterusan sehingga malam Rabu.

Keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di Johor Timur.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=373007

Kerajaan bina Lebuh Raya Timur-Selatan tahun hadapan?

Negeri-negeri pantai timur yang terdiri daripada negeri tok guru Kelantan, Terengganu dan Pahang memerlukan sebuah lebuh raya sebagai perhubungan. Jika direnung dan dilihat, di sebelah pantai barat ada Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Projek Lebuh Raya Pantai Barat yang dalam pembinaan. Projek yang melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 250 kilometer yang menghubungkan Taiping di Perak dengan Banting di Selangor.

Sudah sampai masanya negeri pantai timur tidak didiskriminasi dalam pembangunan. Sumbangan yang sangat besar kepada ekonomi dan pembangunan industri akan dapat dilihat apabila dibina Lebuh Raya Timur-Selatan dari Kota Bharu-Kuala Terengganu-Kuantan-Johor Bahru.

Monday, November 17, 2008

Setiap tahun, tambang bas naik?


Pengkhabaran penyemakan semula tambang bagi semua pengangkutan awam setiap tahun berkuatkuasa Januari 2009 meresahkan pengguna. Rata-rata pengguna pengangkutan awam ini adalah dari golongan miskin dan sederhana.

selepas ini nak naik apa puak-puak miskin dan sederhana ini. Nak naik kereta, tak ada kereta. Nak naik motosikal, boleh muat dua orang je. Nak naik bas tambang bas tinggi. Dah laa masa menunggu bas ‘berjam-jam’. Dah naik bas, kena pulak berdiri sampai ke destinasi. Masa habis, wang habis dan tenaga habis.

Friday, November 14, 2008

Wahai bakal pengantin! Hormati ayat Quran.


Menjelang cuti persekolahan, banyak majlis kenduri kendara untuk meraikan pengantin baru. Zaman moden ni, jemputan ke majlis perkahwinan disertakan dengan sekeping kad jemputan perkahwinan. Macam-macam jenis laa bentuk kad jemputan. Ada panjang, ada pendek, ada bunga, ada gambar bakal pengantin.


Dalam reka bentuk kad tersebut ada sesetengah kad ditulis dan ayat-ayat al Quran dalam tulisan jawi. Niatnya baik tetapi caranya tidak baik. Penulisan begini sebenarnya menghina ayat Quran. Kad-kad yang diberikan kepada kenalan dan saudara mara, tidak mungkin disimpan dengan baik. Kad-kad ini akan bersepah sana sini, jatuh ke lantai dan di pijak-pijak. Dalam tidak sedar bakal pengantin akan dapat dosa. Apalah salahnya jika tulisan ayat Quran di tulis dalam tulisan rumi.

Thursday, November 13, 2008

Racun berjenama PPSMI membunuh bahasa

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 sangat gagal. Setiap hari rungutan demi rungutan dibangkitkan oleh ibu bapa. Rungutan juga diutarakan oleh tokoh-tokoh besar negara tentang ‘kegagalan’ PPSMI ini. Pak menteri yang menjaga pendidikan tetap nak menegakkan benang yang basah. Kununnya murid seronok sangat belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Penjajah.

Dikatakan bahawa 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris . Dengan angka ini, didakwa calon selesa untuk menggunakan Bahasa Inggeris amatlah dangkal dan cetek hujjah ini. Mana mungkin soalan dwibahasa boleh dibuat rumusan sedemikian. Adakah tiada kebarangkalian calon membaca dan memahami soalan dalam bahasa ibunda dan menjawab dalam bahagian Bahasa Inggeris?

Kalau sakit, Hisham Udin pergi jumpa doktor pakar dan ikut nasihat doktor pakar ini. Tetapi apabila bahasa sakit, Hisham Udin tak jumpa pakar bahasa dan tak dengar nasihat pakar bahasa. Bila pakar bahasa (Bahasa Melayu, Cina & India) menyatakan kegagalan PPSMI dan mendesak kembalikan kepada bahasa ibunda, pesakat bernama Hisham Udin ini tak percaya.

Murid bukan sahaja ‘bodo’ Matematik dan Sain tetapi ‘bodo’ bahasa ibunda. Bahasa ibunda sedikit masa lagi seperti sampah yang disepah-sepah . rakyat semua kaum mendesak dikembalikan pelajaran Matematik dan Sain dalam bahasa ibunda. Jika desakan ini tak dipedulikan, ayuh bangun dan bertindak pada pilihanraya ke-13 nanti dengan menolak BN dan bersama Pakatan Rakyat untuk masa depan bangsa dan bahasa.

Thursday, November 6, 2008

Kemelesetan: Dakwaan Najib bertentangan pakar ekonomi

Abdul Aziz Mustafa
Wed | Nov 05, 08 | 2:01:13 pm MYT


KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.

Dakwaan Najib itu bertentangan dengan pandangan pakar-pakar ekonomi termasuk jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff mengenai perkara itu.

Mohamed Ariff berkata, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan, peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.
Menurut beliau, krisis kredit dunia tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda walaupun kerajaan-kerajaan seluruh dunia berusaha mengurangkan kadar faedah dan menyuntik kecairan besar-besaran.

Mohamed Ariff berkata, kini semakin kuat kebimbangan tentang kemungkinan kemelut ekonomi dunia berlarutan sehingga akhir 2010 atau 2011.
Beliau juga menyatakan bahawa keyakinan pengguna dan perniagaan di Malaysia jatuh menjunam dan keadaan akan mungkin akan bertambah buruk jika pengurangan pinjaman mengakibatkan kekeringan dana untuk pelaburan dan perbelanjaan isi rumah
Pandangan Najib juga bertentangan dengan pandangan Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya yang mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.
Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.

"Dari segi reaksi yang bersifat polisi ia mengelirukan - terlalu banyak ransangan sama ada dari segi fiskal atau kewangan mungkin mengakibatkan tekanan inflasi, (jika ransangan) terlalu sedikit mungkin membawa kepada kemelesetan," kata Pengerusi Eksekuti Bolton Berhad itu.
Malaysia juga, katanya, mungkin akan menghadapi cabaran dari segi daya saing secara umum terutama kerana ia terlalu lama bergantung kepada buruh asing yang murah.
Mohamed Azman juga membangkitkan sentimen umum yang pesimis dan keyakinan pengguna yang rendah dan langkah berjimat cermat yang semakin meluas akan memberi kesan kepada kelajuan aliran wang dan ekonomi domestik.

Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

The Straits Times Singapura melaporkan, berdasarkan skala 0 kepada yang paling tidak berisiko hinggalah 10 kepada yang paling berisiko, Malaysia diletakkan pada tahap 6.07, iaitu antara yang paling berisiko tinggi di samping India (6.87) dan Thailand (6.28).

Artikel dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17744&Itemid=1

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP