Tuesday, November 10, 2009

SPRM Diminta Siasat Pembelian Tren Komuter


KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan sekali lagi menjadi tumpuan perbahasan di Dewan Rakyat apabila beberapa anggota Parlimen menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian tren komuter DMU (diesel multiple unit) bernilai RM30 juta yang mereka dakwa 'pelik'.

Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang membangkitkan isu itu mendakwa cara pembelian itu meragukan kerana tren komuter itu bukan sahaja tidak mengikut standard dan spesifikasi yang diperlukan tetapi pembeliannya ia tidak diluluskan oleh anggota lembaga pengarah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) sendiri.

"Jadi apa rational pembelian jumlah RM30 juta itu sedangkan pengurusan kereta api di Costa Rica dan Argentina membeli DMU yang berumur 20 tahun pada harga RM10 juta," katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2010 oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pula menganggap pembelian itu 'pelik' kerana ia hanya mampu bergerak dengan kelajuan 80 kilometer sejam (kmj) sedangkan kereta api barang pun dapat mencapai kelajuan 90 kmj.

"Kerajaan sudah banyak habiskan duit untuk projek landasan berkembar (Rawang-Ipoh) sebagai usaha untuk menaiktaraf dengan kepantasan melebihi 120kmj. Apa yang pelik sekali pembelian empat buah tren DMU ini, kadar kelajuannya hanya 80kmj sahaja, sedangkan kargo tren pun kelajuan dia 90kmj," katanya.

Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) turut mempertikaikan pembelian tren komuter yang disifatkan "sudah hampir putus darah" itu.

"Saya mahu tahu agaknya apa rasional kerajaan membeli empat set DMU ini kerana KTMB pakai set EMU (electric multiple unit).

"Saya juga mahu tahu dengan umur yang disebut iaitu 20 tahun, dah nak putus darah, berapa panjang hayat dia. Adakah kos penyelenggaraannya rendah, bolehkah kerajaan jamin kos selenggaraannya tidak tinggi sesuai umurnya yang sudah lanjut," katanya.

Halimah, yang juga Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), juga mahu kepastian sama ada laluan komuter akan diubah suai bagi membolehkan penggunaan DMU dan sama ada KTMB bersedia untuk menyelenggara set DMU yang dibeli.

Semasa menjawab soalan mereka, Lau bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan tetapi menjelaskan pembelian itu dibuat kerana kerajaan kekurangan peruntukan bagi membolehkan KTMB membuat pembelian tren yang lebih mahal bagi menampung keperluan pengguna.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa anggota termasuk Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang secara lantang dan berkali-kali bertanya kemungkinan 'ada sesuatu' di sebalik pembelian berkenaan.

"Saya ulangi lagi sekali Tuan Speaker, apakah ada sesuatu. Saya meminta SPRM tolong siasat menteri ini (yang meluluskan pembelian itu). Kalau ada penyelewengan heret dia ke mahkamah, dakwa dia. SPRM kata semua wakil rakyat hendak dikaji, kajilah dulu menteri ini.

"Kenapa beli kereta api tua, Tenggara (Halimah) kata sudah hendak putus darah, 20 tahun dengan harga RM30 juta. Argentina, Costa Rica beli kereta api yang sama dengan nilai RM10 juta. Itu satu persoalan besar, sudahlah duit tidak ada, engkau beli barang yang dah buruk, lebih mahal daripada negara yang lain," katanya.

-- BERNAMA

Friday, November 6, 2009

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN AGENDA MUSUH


ISNIN, 02 NOVEMBER 2009 | 14 ZULKAEDAH 1430H

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.

Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal. Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman
berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:

  • Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
  • Bagaimana persiapan bilik gerakan
  • Semakan daftar pemilih terkini
  • Semakan rang yang dibentangkan
  • Bantahan yang perlu dibuat
  • Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya
  • Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU

    Apa tindakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang
    sebenarnya bukan masalah.


Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.


pesanan ini diambil dari:

http://tuanibrahim.blogspot.com/

Thursday, October 29, 2009

Golongan miskin dan sederhana kena lagi...

Golongan miskin dan sederhana kena lagi apabila 'kereta tua' dikenakan syarat yang ketat. orang kaya je yang boleh pakai kereta baru. beli dan tukar yang baru apabila habis bayar. agaknya rakyat "Golongan miskin dan sederhana" didahulukan apabila "dipaksa" membeli kereta baru. Golongan miskin dan sederhana nak hidup cukai jalan dan insuran pun puas kumpul duit. Terima kasih laa kerajaan kerana terus menindas golongan bawahan.

perhatikan sebahagian daripada laporan berikut.

Kajian Semula NAP Tangani Banyak Isu Ekosistem Auto, Kata PEDA

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Dasar Automotif Nasional (NAP) baharu menangani banyak masalah dalam ekosistem automotif, kata Persatuan Peniaga Proton Edar Malaysia (PEDA).

Presiden PEDA, Armin Baniaz Pahamin berkata dasar itu menangani tiga aspek utama yang penting dalam ekosistem Proton.

"Ia terutama, menangani konflik persaingan dua pembuat kereta nasional yang tidak menyokong satu sama lain, selain menyediakan arah tuju masa depan yang pragmatik menjelang pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

"Ia menetapkan secara khusus mengenai pentingnya peniaga Bumiputera dalam rangkaian dan isu kritikal yang dihadapi oleh vendor, selain menangani keseluruhan pasaran automotif yang tepu dan tidak berkembang."

Armin Baniaz berkata orang ramai akan mendapat manfaat daripada ekonomi berasaskan keberkesanan kos yang diperoleh dengan mengekalkan segmen pasaran khusus dalam bahagian pasaran domestik bagi Proton.

Beliau berkata walaupun projek kereta nasional kedua, yang dilancarkan pada 1994, bertujuan melengkapkan Proton dan meningkatkan keluaran produk automotif tempatan, kedua-duanya kini bersaing untuk segmen pasaran yang sama, yang membahagikan penguasaan pasaran.

"Keadaan itu menyebabkan pengeluaran yang rendah (bagi kenderaan dalam segmen yang sama), kapasiti pengeluaran di bawah paras penggunaan kedua-dua pengilang yang tidak berubah yang memburukan lagi segme pasaran," kata Armin Baniaz.

PEDA juga menyambut baik arahan jelas dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rangkaian pengedaran.

Bagaimanapun, pengedaran 100 peratus milik Bumiputera yang kini minoriti dengan jumlah kurang daripada 20 peratus dalam rangkaian pengedaran, perlu dikekalkan, katanya.

Pengecualian cukai/duti ke atas nilai peningkatan eksport bagi kenderaan dan alat ganti/komponen dan pengurangan atau pemansuhan secara berperingkat-peringkat duti import, akan menjadi pemangkin untuk menarik rakan strategik Proton.

Pemeriksaan tahunan mandatori ke atas kenderaan melebihi 15 tahun sebagai langkah pertama ke arah melaksanakan Dasar Akhir Hayat Kenderaan merupakan langkah baik dan selari dengan negara maju lain, kata PEDA.

PEDA bagaimanapun berharap dasar pelupusan yang diperkenalkan menerusi pakej ransangan kewangan kedua, wajar diteruskan terutama ketika momentum sedang meningkat.

"Meskipun jumlah yang ditawarkan untuk melupuskan kenderaan berusia 10 tahun ke aras sangat rendah, ia patut menjadi opsyen berdasarkan purata jumlah kenderaan lama yang relatifnya tinggi di Malaysia," kata Armin Baniaz.

"Pelupusan kereta-kereta lama sangat penting untuk industri automotif kita yang agak tepu. Pengenalan Dasar Akhir Hayat Kenderaan akan menangani pasaran automotif kita yang tepu selain mengatasi isu alam sekitar dan tahap keselamatan kenderaan di jalan."

Pemberhentian berperingkat import alat dan komponen terpakai, termasuk kenderaan potong, akan memanfaatkan semua pihak, orang ramai, vendor Proton serta peniaga khidmat servis sah, katanya.


sumber
-- BERNAMA

Monday, October 26, 2009

Serba Serbi Jatuh.

Serba serbi jatuh yang berkaitan dengan negaraku tercinta Malaysia. Menurut laporan "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24. jatuh yang kedua, Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak USD7.3 billion tahun tahun 2008 berbanding Tahun ini Negara hanya mencatat USD1 billion sahaja kemasukan FDI. pendidikan juga jatuh seperti laporan berikut.

Pendidikan


Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Ini menunjukkan Negara-negara lain telah lebih kehadapan dalam pembangunan insane. Gini Coeffient juga menunjukkan Malaysia merupakan Negara yang paling tinggi jurang diantara yang kaya dan miskin di rantau ini. Perlu diberi perhatian bahawa kadar celik huruf dewasa di Malaysia ialah 91.2%, Indonesia 92% serta Georgia ialah 100%!

Pendidikan menjadi kelemahan dalam daya saing Negara dan mungkin menjadi rintangan paling besar untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan ekonomi Negara. Kita telah mengabai fahaman tradisi bahawa prasyarat asas pembangunan modal insane untuk pertumbuhan ekonomi dan kejayaan masa depan dicapai hanya melalui penyediaan sistem pendidikan bertaraf dunia pertama.

Tidak ada satu pun universiti dalam negara menduduki tangga 100 malah 200 universiti terbaik dunia sedangkan sudah banyak universiti-universiti di Asia terutama dari Hongkong, China , Jepun, Singapura, Korea, Taiwan dan malah Thailand berjaya menduduki dalam kumpulan university terbaik dunia. Peningkatan kualiti pendidikan mereka jauh lebih maju dan kehadapan berbanding dengan system pendidikan kita.

Menurut kedudukan university-universiti terbaik Asia yang dinilai oleh QS Top Universities, 2 buah universiti dari Thailand iaitu University Mahidol menduduki tangga ke 30 dan Chulalongkong ke 35 berbanding dengan university terbaik negara iaitu Universiti Malaya yang hanya berjaya menduduki tangga ke 39. University of Hong Kong yang sama taraf dengan University Malaya satu ketika dahulu menduduki tangga no 1 sementara National University of Singapore tangga 10.

Penekanan kepada sains, teknologi serta sains asas seperti physics, kimia dan kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terlalu kurang dan lemah sedangkan kita perlu mengorientasi Negara menceburi dalam era ekonomi global baru. Kita hanya berjaya mengeluarkan modal insan yang mampu menyelenggara ekonomi masa kini tetapi tidak berupaya memacu ekonomi dimasa hadapan. Kita masih bertelagah mengenai penggunaan bahasa untuk pelajar daripada memikir penguasaan matapelajaran sains dan teknologi untuk memacu Negara kehadapan.

Sistem pendidikan yang baik menjana modal insan yang berupaya mengeluar kemahiran berdaya kreatif, inovatif yang sentiasa mencipta barangan dan perkhidmatan baru untuk pasaran tempatan dan global. Tanpa modal insan yang berdaya kita tidak berupaya memacu ekonomi ke tahap sekarang dan tidak boleh mengolah model baru ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan yang berdaya menimba, melibat dan menyumbang kepada ekonomi global.

Mana-mana pakar ekonomi bersetuju sudah terdapat jurang yang begitu luas dan tidak dapat diperbaiki lagi dalam dekad depan dari semua sudut kualiti modal insan yang diperlukan sekarang dan masa depan sekiranya kita terus mengabai system pendidikan negara. Modal insan berkualiti tinggi agak sukar diperolehi dalam Negara sekarang.

Perubahan radikal diperlukan dalam system pendidikan Negara. Kita mesti mengeluar pelajar berkualiti, pemikir yang dapat bertindak secara bebas, berfikir secara berlainan dan inovatif serta mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Pelajar2 ini mesti perolehi pengetahuan teknikal, kejuruteraan, matermatiks dan kemahiran amali terkini serta berupaya merancang dan membantu yang lain dalam perusahaan masa depan. Melainkan kita merubah system pendidikan Negara yang sudah jauh ketinggalan, daya saing Negara akan terus merosot dan harapan untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai.

Negara juga sedang mengalami pengaliran keluar pakar-pakar atau "brain drain" kerana mereka yang pintar dan berbakat tidak lagi melihat Negara sebagai tempat berpeluang untuk maju dalam ekonomi Negara dan ini digalakkan oleh ibubapa dan rakan-rakan dalam mengejar cita-cita dan kekayaan. Kita kehilangan mereka yang berbakat sekiranya daya kreatif dan kemahiran teknikal tidak diperguna dan diperlukan dalam ekonomi sekarang. Tidak ada motivasi untuk mereka merekacipta barangan dan perkhidmatan baru sekiranya Negara sendiri tidak ada kelebihan teknologi untuk digunakan dalam menggarap daya kreatif mereka. Mereka akan pergi ke destinasi lain yang lebih mencabar.


sebahagain daripada ucapan perbahasan Anwar di parlimen:copy dari www.malaysiakini.com

Monday, October 19, 2009

Pelabur risau, internet M'sia lembab


Okt 19, 09 8:15pm
Syarikat-syarikat Australia yang berhasrat untuk melabur di Malaysia bimbang dengan tahap kelajuan Internet yang tidak memuaskan di negara ini, kata timbalan pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia- Australia, Michael Halpin.

Capaian Internet yang laju adalah penting bagi syarikat-syarikat Australia yang mempunyai dokumen besar untuk dihantar dari Malaysia ke ibu pejabat mereka di Australia, katanya.

"Ada dokumen teknikal yang amat besar dan selalunya kami mendapati ia mengambil masa yang panjang untuk menghantar dokumen-dokumen sebegini akibat kelembapan Internet di Malaysia.

"Capaian Internet di Australia lebih laju daripada di Malaysia.

"Pelabur-pelabur Australia dan Amerika mendapati ini menjengkelkan dan menghalang mereka menjalankan perniagaan dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan di majlis makan tengah hari dengan pegawai kerajaan negeri Selangor, wakil-wakil majlis perniagaan dan kedutaan asing.

Ditanya jika kelajuan Internet di Malaysia adalah lebih perlahan daripada negara-negara jiran, Halpin berkata:

"Tidak, tetapi adakah Malaysia mahu setaraf dengan mereka? Malaysia adalah pilihan utama sebagai destinasi pelaburan, tetapi perbezaan antara Malaysia, Indonesia dan Vietnam semakin hilang."

Isu lain yang menjadi kebimbangan syarikat-syarikat Australia dan bakal pelabur ialah tahap keselamatan, di mana terdapat banyak laporan berita mengenai jenayah kecil dan ragut di negara ini.

Halpin bagaimanapun berkata beliau tidak menjangkakan bahawa syarikat-syarikat Australia yang sedang beroperasi di sini akan berpindah tetapi keadaan ini mungkin akan menghalang kedatangan syarikat-syarikat baharu ke Malaysia.

"Syarikat-syarikat ini bertanggungjawab ke atas pekerja dan keluarga mereka yang dihantar ke sini. Isteri kepada seorang petugas telah kehilangan begnya dalam kejadian ragut baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memberi bantuan sokongan kepada pihak polis yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Beliau berkata pihak kerajaan negera mengambil berat isu keselamatan dan akan memberi perhatian kepada isu itu dalam bajet negeri 2010.

Mengenai pelabur-pelabur yang lebih menggemari Indonesia, Thailand dan Vietnam sebagai destinasi pelaburan, Khalid berkata mereka harus melihat Malaysia sebagai satu "batu loncatan" kepada pasaran Asia yang lebih besar seperti China.

"Jika mereka ke negara lain, mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga empat tahun lagi sebelum prasarana yang diperlukan siap, tetapi di negara ini, kebanyakan kemudahan telah siap sedia," katanya.

Menteri besar berkata banyak syarikat yang pada awalnya ingin menembusi pasaran China, kini beroperasi di Selangor kerana pelaburan di negara lain memerlukan program pembelajaran semula berikutan budaya perniagaan yang berlainan, tambahnya.

Majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh SSIC Bhd itu dihadiri pegawai-pegawai dari Indonesia, Cambodia, Singapura, Brunei, Korea Selatan, Maghribi, Tanzania, Zimbabwe, Lesotho, Papua New Guinea, Mesir, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Australia dan majlis perniagaan Amerika.

SSIC berkata Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) meluluskan 138 projek pembuatan bernilai RM2.72 bilion di antara Januari dan Julai.

Daripada jumlah pelaburan, RM1.25 bilion adalah dari usahawan Malaysia, manakala baki RM1.46 bilion adalah dari pelabur asing.

Projek-projek tersebut menawarkan sejumlah 8,000 peluang pekerjaan. BERNAMA

dicopy dari: malaysiakini.com

Thursday, October 15, 2009

Kes Bekas EXCO Didakwa Buat Tuntutan Berlebihan Ditutup - SPRM

ALOR SETAR, 15 Okt (Bernama) -- Kes siasatan terhadap bekas Exco kerajaan negeri Kedah, Muhammad Radzhi Salleh yang didakwa membuat tuntutan perjalanan tidak munasabah telah ditutup selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penyelewengan atau penipuan dilakukan ahli politik itu.

Pengarah SPRM Kedah, Idrus Jaafar berkata Timbalan Pendakwa Raya SPRM di Putrajaya yang meneliti laporan siasatan berpuas hati supaya kes itu ditutup kerana semua tuntutan Muhammad Radzhi disokong dengan dokumen, resit dan saksi.

"Kes itu disiasat mulai pertengahan tahun ini dan ditutup baru-baru ini (Oktober)," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra Aidilfitri SPRM di sini pada Khamis, Idrus berkata kes itu adalah antara empat kes tuduhan penyelewengan dan rasuah membabitkan ahli politik negeri ini yang disiasat pihaknya tahun ini.

Muhammad Radzhi, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lunas ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Masyarakat, mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas apabila keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Ogos lepas.

Idrus berkata tiga lagi kes membabitkan ahli politik yang didakwa rasuah atau melakukan penyelewengan masih disiasat.

Katanya dari Januari sehingga hari ini, SPRM Kedah menerima 565 maklumat dan daripada jumlah itu, hanya 317 kes atau kira-kira 56 peratus mempunyai unsur rasuah manakala 248 kes lagi tiada unsur rasuah.

"Maklumat ini menghasilkan 24 tangkapan melibatkan seorang penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Pofesional, sembilan orang dari kumpulan sokongan serta 14 orang awam dan rampasan bernilai RM26,689.

"Sebanyak 141 maklumat (kes) dari 248 yang tidak berunsur rasuah dirujuk untuk tindakan jabatan antaranya polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun terhadap pegawai mereka yang terbabit," kata Idrus.

Beliau berkata sebanyak 14 laporan SPRM diserahkan kepada jabatan atau agensi kerajaan membabitkan pegawai yang didapati melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataterib) 1993 untuk dikenakan tindakan tatatertib.


sumber: bernama.com

Grand Prix F1 Malaysia macam mana?... Ada untung atau ada utang?

Malaysia salah sebuah negara yang menawarkan diri menjadi penganjur ‘Formula 1!’ Grand Prix F1. Penganjuran kejohanan yang bertaraf antarabangsa ini bermodalkan jutaan ringgi. Bukan modal membuka gerai nasi lemak atau belanjawan buat sukaneka PASTI. Tiada siapa yang tahu, sama ada kejohanan itu positif atau negatif dari segi belanjawannya.

Terbit laporan mengenai Grand Prix F1 Australia 2008 mengalami kerugian A$40 Juta (duit Malaysia Ratusan juta laa). Dihafamkan juga bahawa kerugian itu akan ditanggung oleh kerajaan Victoria.

Rakyat sekarang semua nak tahu apa yang dibelanjakan oleh kerajaan sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Sememangnya rakyat mesti tahu dan ambil tahu setiap sen yang dibenjakan kerana rakyat inilah yang menjadi pembayar cukai. Cukai yang dibayar secara langsung atau tidak langsung mestilah dihargai.

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP