Sunday, September 28, 2008

Antara raya ‘Hidup Melayu’ dengan raya ‘Takbir’

Slogan ‘Hidup Melayu’ sinonim dengan puak-puak berbaju merah manakala slogan ‘Takbir’ sinonim dengan pauk-puak berbaju hijau. Slogan pun tak sama dan sambutan raya juga memang tak sama.

Cuba dilihat cara puak ‘Takbir’ menyambut dengan penuh adap-adap Islam. Yang diharamkan oleh agama dihindari. Berjabat tangan antara bukan muhrim dijauhi. Muzik yang sederhana. Makan/minum tidak membazir. Berhenti solat di masjid/surau. Ziarah menziarahi kerana Allah.

Bagi puak ‘Hidup Melayu’ ni, semua orang tau. Berjabat salam perempuan / lelaki selemba je macam tak berdosa. Muzik terlampau . selalunya bersolat kat umah je, masjid dah tak nampak. Takbir memang kuat tetapi tak tau pun apa maksud takbir tersebut. Pergaulan bebas berleluasa.

Raya kali ini diharap puak ‘Hidup Melayu’ buat perubahan ikut cara puak ‘Takbir’ sambut raya. Lagi bagus sempena bulan baik ni tukar je baju ‘Hidup Melayu’ kepada baju ‘Takbir’. Sama-sama raya ikut Islam, siasah cara Islam, makan cara Islam, kahwin cara Islam, pemilihan cara Islam, perintah negara cara Islam dan semuanya cara Islam. Islam For All.

Nasihat bagus dari penasihat yang tak bagu*.

Surat khabar utama negara melaporkan, PM dalam satu majlis di Pinang Tunggal mengajak umat Islam bermuafakat dan tidak bercakaran sesama sendiri. Tahu pulak PM bahawa bersatu dapat menjadi umat yang kuat. Tidak ada salahnya dari pendapat PM ni malah inilah yang dituntut oleh agama. Yang menjadi persoalan ialah kaedah bagaimana untuk bersatu? Bersatu ala komunis atau bersatu ala nasionalis.

Seruan bersatu dari ajaran Islam. Islam juga mengajar cara untuk bersatu. Apalah yang susah sangat. Tak tau laaa bilakah puak-puak ni nak faham. Dalam quran dan hadis dah beritahu cara untuk bersatu. Tak mampu ‘Hidup Melayu’ menyatu umat, tak mampu dasar sekular membentuk muafakat. Lain tak bukan , umat Islam mesti bersatu atas dasar Quran dan Sunnah.

Memang ada perselisihan antara individu dengan individu lain, golongan dengan golongan dan parti dengan parti lain. Buang ego parti, buang ego melayu dan buang ego kedudukan. Ambil Quran dan Sunnah sebagai penentu kebenaran dan hakim. Kalau ‘Hidup Melayu’ tak selari dengan Quran, buang jauh-jauh dalam lubuk buaya. Kalau undang-undang tak selari dengan Quran campak dalam gunung berapi, biar hangus tinggal debu.

Friday, September 26, 2008

Sajak: Selamat tinggal Ramadhan.

Oh Ramadhan
Ramadhan menjelang
Hampir tenggelam
Di hujung usia
Menggamit pencinta
Gembira mendatang
Bagi yang tiada erti
Sedih mendatang
Bagi yang penuh petunjuk
Ada bernasib malang
Malang tanpa pahala
Malang tanpa perubahan
Malang tanpa kebaikan
Hanya lapar dahaga
Ada yang beruntung
Beruntung diampun
Beruntung dibersihkan
Beruntung dirahmati
Ganjaran tiada ternilai
Nilainya
Hanya laku di sana
Di sini tiada erti
Terlepas kali ini
Belum pasti bertemu lagi
Selamat tinggal Ramadhan

Saturday, September 20, 2008

Penghabisan stok: baki 30% mesti direbut.

70% telah berlalu, tinggal lagi 30% sahaja baki stok puasa yang ada. Sepuluh hari terakhir puasa mesti direbut kerana mungkin puasa kali ini adalah puasa yang terakhir buat kita. Baki 30% ini juga terkenal dengan malam lailatul Qadar.


Nabi Muhammad dalam sabdanya menyebut.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."

(Hadis sahih riwayat Bukhari)

Apakah malam Lailatul Qadar?
"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Al-Qadr:1-5)

Kita mestilah berusaha mencari malam Lailatul Qadar. Hayati sabda Rasul.
Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan."

(Hadis sahih riwayat Bukhari)

Contoh terbaik dalam menghidupkan malam Lailatul Qadar ialah amalan Rasullullah.
Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wednesday, September 17, 2008

PR berbohong?

PR dituduh berbohong menjelang kejadian ‘Malaysia Baru’ 16 september baru-baru ini. Pada masa yang sama suara-suara kebimbangan juga keluar dari orang yang sama. Kalau sudah tidak mempercayainya lagi, apa perlu dibimbangkan. Adakah 26 rakyat Malaysia juga beranggapan seperti itu?

Dalam hati kecil, puak-puak ini masih tak lena tidur memikirkan kenyataan akhbar PR pada petang 16 september yang akan mengambil tindakan susulan dalam beberapa hari dan minggu lagi. PR juga menegaskan keyakinan membentuk ‘Malaysia Baru’ .


Menjadi satu harapan yang sangat besar supaya PM dapat menerima kunjungan PR dalam masa terdekat. Biar sesuatu itu berlaku dengan aman untuk negara tercinta ini. Berilah sedikit sumbangan kepada negara, dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan negara. Seluruh rakyat mahukan negara aman, ekonomi yang adil, rasuah sifar, kehakiman telus, SPR bebas dan kehidupan yang lebih selesa.


Apa pun yang berlaku rakyat mengharapkan akan berlaku perubahan sama ada PR yang membawa perubahan atau kerajaan sedia ada yang membuat perubahan. Berubah dari sistem yang salah kepada sistem yang betul, undang-undang yang zalim kepada undang-undang yang adil, bantuan berpilih kepada bantuan yang menyeluruh. Semua perkara datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah jua.

Monday, September 15, 2008

Hilang keyakinan kepada hukum Allah

Satu perkara yang mendukacitakan berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam ialah hilangnya keyakinan kepada hukum Allah SWT.


Adalah satu perkara yang tidak munasabah dan haram berlaku di kalangan umat Islam bahawa orang-orang yang mengaku Islam, tidak yakin kepada hukum Allah bermakna juga tidak yakin kepada Allah dan tidak yakin kepada Rasullullah s.a.w.


Ini menyebabkan seseorang itu tidak yakin kepada Islam di mana dia mengaku dirinya sebagai seorang Islam.

Tidak terkumpul di dlam hati orang yang beriman dengan keraguan dan syak wasangka kepada ajaran Islam kerana syak wasangka kepada ajaran Islam dan tidak yakin kepada hukum itu adalah perkara yang boleh membatalkan iman.


Firman Allah SWT dalam ayat 65 surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Maka demi tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”

Nota: Artikel ini adalah sebahagian dari ruangan bicara dato’ seri Abdul Hadi Awang:

harakah bil 1375.

Sunday, September 14, 2008

17 September / 17 Ramadhan...

Nuzul Al Quran bererti penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Proses penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk manusia sejagat di alam buana ini. Firman Allah s.w.t. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….” ayat 185 surah al Baqarah.

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak ada syak dan waham baginya seperti Firman Allah s.w.t. “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “ ayat 1-2 surah al Baqarah.

Penegasan kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “ ayat 23 surah al Baqarah. Golongan kuffar terus gagal menyahut cabaran Allah tersebut meskipun cabaran ini telah berlangsung semenjak 15 abad yang lampau!

Benarlah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruhNya sebagai rahmat bagi sekalian alam; Benarlah Islam sebagai agama Hanif yang diperakui dan diredhaiNya sepertimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19 “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang mencakupi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat.

Kegemilangan umat Islam silam seperti yang tercatat dalam tinta sejarah dunia jelas menunjukkan bahawa kehebatan umat Nabi Muhammad adalah terhasil daripada program tamrin,tanzim dan tarbiyah Nubuwah yang terencana dengan begitu halus dan rapi sehingga terbentuknya satu generasi yang digelar sebagai Generasi Al Quran yang cukup istimewa.

Generasi Al Quran ini telah membelanjakan seluruh kehidupan mereka untuk berjihad membawa cahaya dan panji-panji kebenaran Islam agar dapat dikecapi oleh manusia sejagat. Perjuangan dan pengorbanan mereka untuk membebaskan penghambaan sesama makhluk kepada pentauhidan terhadap yang Maha Esa; Menyelamatkan kekalutan nilai sosial ekonomi zaman Jahiliyah kepada kehidupan yang aman dan sejahtera dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sesama insan….. .

Alangkah sedihnya kegemilangan ketamaddunan terbina dek Generasi Al Quran ini gagal dipertahankan kelangsungannya. Umat Islam hari ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan mereka berbanding umat lain. Bahkan mereka bercakaran sesama sendiri; Perpecahan, peperangan saudara, pertelingkahan ideologi politik, penindasan dan pembolotan hasil ekonomi dan lain-lain lagi.

Kenapa boleh terjadi segala kekalutan dan kepincangan ini ??? Jawapannya umat ini telah meninggalkan ajaran dan petunjuk Al Quran ! Al Quran tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam merencana dan menentukan hala tuju setiap program,projek dan aktiviti kehidupan insan muslim. Hawa nafsu dan logical akal mendominasi setiap tindakan dan polisi yang digubal. Terikut-ikut dan terperangkap dalam teori dan ideologi golongan kuffar dalam mengurus tadbir negara dan ehwal umat Islam ; Umat ini telah kehilangan jati diri ; Hidup miskin dalam negara yang kaya dengan sumber hasil bumi. Menagih ihsan dan menjadi pengguna hasil rekacipta sains dan teknologi bakan Islam.

Bilangan umat ini ramai sepertimana yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah tetapi umpama air buih selepas banjir yang tiada kekuatan yang terumbang-ambing; Ramai yang menjadi hidangan diratah kerakusan golongan kuffar.

Adakah ini ciri-ciri khairul ummah seperti yang digambar dalam Al Quran ? Sesungguh umat ini mulia, kuat, gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam. Mereka membaca,meneliti dan menganalisa setiap ayat suci untuk dijadikan pedoman dan kunci kejayaan segala urusan duniawi dan ukhurawi mereka. Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al Quran telah diakui oleh perdana menteri Britain yang pertama “ Selama mana kitab ini (Al Quran) berada di tangan orang Islam,maka selama itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur Tengah”

Al Quran merupakan benteng terakhir agama yang menjaga keaslian dan kebenaran Agama Allah ini. Selama mana dipetahankan ajarannya maka selama itulah Islam akan kukuh di jiwa penganutnya. Jika Al Quran telah terpisah jauh daripada umat Islam,maka akan hilanglah kekuatan umat Islam. Akan tetapi jika umat Islam berpegang teguh dengan Al Quran,musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya.

Apabila Al Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa,maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya,tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh sempena menyambut hari Nuzul Al Quran tahun ini, setiap lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau perempuan, tua atau muda,kaya atau miskin kembalilah kepada Al Quran yang maha suci ini menerusi aktiviti dan program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Usaha kembali kepada Al Quran ini perlu dilakukan secara kolektif dan terancang oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Insya’ Allah dengan kesungguhan dan kesepaduan semua lapisan umat Islam dalam menghayati ajaran Al Quran, Generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan,yang disegani kawan dan dihormati lawan bakal menjelma lagi untuk membawa panji-panji keagungan Islam ke arah pembentukan sebuah Daulah Islamiah yang baik dan senantiasa beroleh keampunan Ilahi serta menabur khidmat bakti untuk umat manusia seluruhnya. Amin !
Disediakan oleh :
Mohamad Yusof Ong bin Abdullah
Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor


Nota: artikel ini diambil dari http://www.jais.net.my

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP