Thursday, November 6, 2008

Kemelesetan: Dakwaan Najib bertentangan pakar ekonomi

Abdul Aziz Mustafa
Wed | Nov 05, 08 | 2:01:13 pm MYT


KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.

Dakwaan Najib itu bertentangan dengan pandangan pakar-pakar ekonomi termasuk jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff mengenai perkara itu.

Mohamed Ariff berkata, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan, peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.
Menurut beliau, krisis kredit dunia tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda walaupun kerajaan-kerajaan seluruh dunia berusaha mengurangkan kadar faedah dan menyuntik kecairan besar-besaran.

Mohamed Ariff berkata, kini semakin kuat kebimbangan tentang kemungkinan kemelut ekonomi dunia berlarutan sehingga akhir 2010 atau 2011.
Beliau juga menyatakan bahawa keyakinan pengguna dan perniagaan di Malaysia jatuh menjunam dan keadaan akan mungkin akan bertambah buruk jika pengurangan pinjaman mengakibatkan kekeringan dana untuk pelaburan dan perbelanjaan isi rumah
Pandangan Najib juga bertentangan dengan pandangan Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya yang mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.
Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.

"Dari segi reaksi yang bersifat polisi ia mengelirukan - terlalu banyak ransangan sama ada dari segi fiskal atau kewangan mungkin mengakibatkan tekanan inflasi, (jika ransangan) terlalu sedikit mungkin membawa kepada kemelesetan," kata Pengerusi Eksekuti Bolton Berhad itu.
Malaysia juga, katanya, mungkin akan menghadapi cabaran dari segi daya saing secara umum terutama kerana ia terlalu lama bergantung kepada buruh asing yang murah.
Mohamed Azman juga membangkitkan sentimen umum yang pesimis dan keyakinan pengguna yang rendah dan langkah berjimat cermat yang semakin meluas akan memberi kesan kepada kelajuan aliran wang dan ekonomi domestik.

Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

The Straits Times Singapura melaporkan, berdasarkan skala 0 kepada yang paling tidak berisiko hinggalah 10 kepada yang paling berisiko, Malaysia diletakkan pada tahap 6.07, iaitu antara yang paling berisiko tinggi di samping India (6.87) dan Thailand (6.28).

Artikel dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17744&Itemid=1

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP