Wednesday, February 11, 2009

Rekod hak asasi M'sia dipersoal di PBB

Feb 11, 09 11:32am
dikemaskini Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pemimpin politik dan layanan buruk terhadap pendatang asing harus menjadi isu utama mempersoalkan rekod hak asasi manusia Malaysia.

Hari ini, Malaysia buat pertama kali akan dihadapkan ke panel antarabangsa di Geneva untuk semakan rekod pelanggaran hak asasi manusia - amalan setiap empat tahun bagi semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Semakan itu akan dibuat di peringkat Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Badan antarabangsa pejuang hak asasi Human Rights Watch (HRW) berkata proses semakan di kalangan anggota PBB ini harus mendesak Malaysia bertanggungjawab atas semua bentuk pelanggaran tersebut, termasuk pada pelarian, pendatang haram dan penahanan tanpa bicara.

"Negara-negara anggota PBB patut mencabar Malaysia memansuhkan ISA, sama ada (mendesaknya) mendakwa atau membebaskan kesemua tahanan," kata seorang timbalan pengarahnya, Elaine Pearson.

Penggunaan akta kontroversi itu – antaranya terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin, pemimpin DAP Teresa Kok dan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) – atas nama "keamanan, keselamatan dan kestabilan" menyalahi pelbagai piawaian hak asasi dunia, katanya lagi.

Berhubung layanan terhadap pendatang asing, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mendapat kritikan keras kerana didakwa melakukan pelbagai penganiyaan fizikal, mengancam dan memeras.

"Seorang tahanan memberitahu HRW bagaimana Rela melayan mereka 'seperti binatang', menendang dan menumbuk tahanan tanpa alasan yang jelas.

"Seorang lagi pendatang menjelaskan beliau dipukul oleh pegawai Rela sehingga tidak dapat berjalan beberapa hari," kata Elaine.

HRW juga berkata, Malaysia masih gagal menandatangani pelbagai perjanjian hak asasi manusia yang utama.

sumber:Malaysiakini

p/s: Malaysia mesti kembali kepada prinsip kemanusiaan mengikut apa yang diperintahkan oleh Pencipta alam.
KEMPEN HAPUSKAN ISA.

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP