Tuesday, June 2, 2009

MPV Perodua mirip Daihatsu Boon Luminas


Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my


DAIHATSU Boon Luminas CX mirip Perodua MPV baru yang akan dilancarkan November ini.

Model dapat sambutan di Tokyo kerana bergaya, mesra pengguna

MODEL kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bakal dilancarkan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) November ini adalah mirip model Daihatsu Boon Luminas yang kini laris jualannya di Jepun, kata sumber industri.

"Semua telah sedia maklum pakatan strategik antara Perodua dengan Daihatsu Motor Co Ltd dan syarikat induknya, Toyota yang menjadi pengeluar kenderaan terbesar dunia ketika ini.


"Sebelum ini juga hampir keseluruhan model keluaran Perodua adalah mirip kepada beberapa model Daihatsu dan kali ini, model MPV itu adalah hampir sama dengan model Luminas CX yang dilancarkan di Jepun Disember tahun lalu," kata sumber itu kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Pada 25 Disember lalu, Toyota Motor dan Daihatsu Motor melancarkan model kompak tujuh tempat duduk itu di Jepun di bawah jenama dua jenama iaitu Toyota Passo Sette dan Daihatsu Boon Luminas.

Sumber itu menegaskan, model berkenaan mendapat sambutan hangat sebaik diperkenalkan di Tokyo kerana dianggap bergaya dan lebih mesra pengguna.

"Walaupun masih dalam kategori kereta kompak, tetapi ia memiliki ruang dalaman yang luas. Ia cukup kecil untuk menjadi pemanduan lebih mudah dan cukup besar untuk memuatkan sehingga tujuh orang," katanya.

Beliau berkata, MPV Perodua yang mirip Luminas itu dijangkakan mendapat sambutan kerana harganya yang mampu milik, antara RM56,000 hingga RM66,000 seunit.

Katanya, MPV yang dijana enjin 1.5 liter itu akan ditawarkan dalam dua varian iaitu automatik dan manual serta pilihan antara model mewah atau asas.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar, baru-baru ini, berkata walaupun syarikat itu agak lewat melancarkan model MPV, namun beliau yakin ia mampu memberikan cabaran dalam segmen kenderaan terbabit di negara ini kerana ia menawarkan pelbagai ciri bermutu pada harga berdaya saing.

Beliau berkata, MPV itu yang kini pada peringkat akhir pembangunannya mampu ditawarkan pada harga sangat berdaya saing kerana ia menggunakan sehingga 90 peratus komponen tempatan.

sumber:http://www.bharian.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP