Harga Produk F&N Dairies Mungkin Naik
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- F&N Dairies (M) Sdn Bhd kemungkinan menaikkan harga produknya berikutan kenaikan harga gula dan bahan bakar yang bermula Jumaat.
Ketua Pegawai Operasi (Bahagian Tenusu) Tony Lee bagaimana pun berkata kumpulan itu belum membuat keputusan bila semakan kenaikan harga itu akan berkuat kuasa.
"Memandangkan susu pekat mengandungi banyak gula, kenaikan 25 sen sekilogram harga gula pasti memberi kesan yang besar kepada pengeluaran itu.
"Oleh kerana pengumuman rasionalisasi peningkatan harga dibuat hanya semalam, kami perlu membuat penilaian impaknya sebelum kami memutuskan untuk menaikkan harga.
"Harga produk tenusu mungkin meningat 10 sen," katanya kepada pemberita selepas pelancaran imej baharu jenama "TEA POT" pada Jumaat.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan subsidi kerajaan bagi petrol, diesel, gas petroleum secair dan gula akan dikurangkan mulai Jumaat sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat.
Susulan pengurangan itu, harga gula naik 25 sen sekilogram kepada RM1.90 berbanding RM1.65 sebelumnya.
Mengenai imej baharu Tea Pot, Lee berkata label baharu itu direka untuk menampakkan imej yang segar pada jenama itu.
"Berdasarkan maklum balas yang diperoleh dari kaji selidik pasaran, corak dan visual itu lebih mencerminkan ketepatan janji jenama itu -- kualiti yang kosisten dan enak dirasa.
"Ia juga akan menambah baik kedudukan premiumnya sebagai pilihan pelanggan yang pandai menilai," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment