Monday, May 4, 2009

Perodua Hentikan Pengeluaran Kancil Bulan Depan

RAWANG, 4 Mei (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah bersedia untuk menghentikan model pertama dan paling lamanya, Kancil, bulan depan selepas berada di jalan raya selama 16 tahun.

Pengarah urusan, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata Perodua akan menhentikan pengeluaran Kancil 660cc yang begitu popular dan menggantikannya dengan Viva.

"Pada masa ini, kami berada di bulan akhir pengeluaran Kancil. Selepas 16 tahun dengan sejumlah 750,000 Kancil di jalan raya, kami telah bersedia untuk menghentikannya."

"Kami mungkin melancarkan Viva 660 yang asas untuk menggantikan Kancil sekitar Julai," kata beliau kepada Bernama dalam temubual baru-baru ini di kilang pengeluarannya di sini.

Kancil merupakan model pertama yang dikeluarkan oleh Perodua. Ia diperkenalkan sejurus selepas syarikat itu diperbadankan pada 1994.

Kumpulan pertama Kancil dilancarkan pada 29 Ogos, 1994 dengan kapasiti pengeluaran 45,000 unit setahun.

"Untuk bulan April tahun ini, hampir 1,000 unit Kancil telah didaftarkan dan kami kini ke jumlah akhir 1,000 untuk dijual pada Mei atau awal Jun, paling lewat," kata beliau.

Sejak pelancaran sulungnya, Kancil telah menjalani beberapa proses modifikasi, naik taraf dan perubahan wajah.

Untuk Viva asas, beliau berkata harganya lebih murah berbanding dengan Viva semasa.

Perodua menjangka menjual pada harga RM25,000 setiap satu.

Pada masa ini, beliau berkata harga Viva paling murah ialah kira-kira RM28,000.

"Kami melakukan ini untuk persediaan bagi pelancaran Kenderaan Pelbagai Guna kami November ini. Pengeluaran besar-besaran akan bermula pada akhir September. Jadi, ini semua bagi persediaan rangkaian baru MPV kami, kata Syed Abdull Hafiz.

Perodua MPV itu dikenali dengan kod nama dalaman Perodua D46T dan dijangka berharga antara RM60,000 dan RM65,000, kata beliau.

Perodua D46T baru ini adalah berdasarkan kepada Toyota Passo Sette, yang turut dikenali sebagai Daihatsu Boon Luminas.

Ia berukuran 4,180mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,620mm tinggi, dengan kepanjangan asas tayar 2,750mm bagi memaksimumkan ruang dalaman (2,550mm panjang).


sumber
http://www.bernama.com

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP