Saturday, July 4, 2009

116 peneroka dapat hak milik tanah




KOTA BHARU – Penantian 116 peneroka di bawah ladang Felcra di Bukit Jelutong, Gua Musang untuk memiliki hak milik tanah sejak lebih 20 tahun lalu tercapai apabila kerajaan negeri mengesahkan kelulusan hak milik tanah ke atas kesemua peneroka tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, ladang Felcra di Bukit Jelutong, Jajahan Gua Musang yang asalnya telah diterokai oleh peneroka diserahkan kepada kerajaan negeri atas alasan mereka gagal memajukannya.

“Kebanyakan peneroka telah membayar deposit sejak tahun 1985,1986 dan 1987 lagi. Hari ini kerajaan negeri telah mengesahkan kelulusan ke atas semua senarai 116 peneroka tersebut. Ia melibatkan keluasan 2.4 ekar setiap lot dengan lot keseluruhan lebih kurang 298 hektar.

“Sebahagian ladang ini diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan getah. Sebahagiannya pula telah musnah oleh hidupan liar,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut beliau, pendeposit terbabit akan mendapat hak milik serta-merta ke atas tanah tersebut setelah mereka menjelaskan bayaran premium sebanyak RM3,000 bagi setiap lot.

“Setelah mereka membayar deposit dan membuat perjanjian dengan Felcra, penduduk kampung mengusahakan ladang ini. Jadi selama ini Felcra bertanggungjawab ke atas ladang tersebut.

“Hanya pada tahun lepas mereka telah menyerahkan kepada kerajaan negeri. Apabila Felcra secara suka rela menyerahkan ladang ini, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyerahkan semula kepada rakyat.

“Ini kerana konsep kita ialah mana-mana ladang atau tanah yang telah diusahakan oleh rakyat secara sah seperti ini kita utamakan mereka mendapat hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, senarai atau proses pemutihan ini tekah dibuat dan dalam dua minggu lepas kerajaan telah luluskan permohonan itu.

“Saya telah berjumpa dengan wakil penduduk untuk mengesahkan senarai itu sekali lagi. Dan hari ini kerajaan negeri meluluskan permohonan itu.

“Bukan kawasan ini sahaja yang diserahkan kepada kita oleh Felcra tetapi juga Felcra Perabong 1 dan Perabong 3, Bukit Tandak dan Gual Dalam di Pasir Mas juga akan diserahkan kepada peneroka,” katanya.


sumber dari. sinarharian.com.my


KOMEN:
Apa cerita warga peneroka di negeri lain. Dah dapat ke hak milik tanah yang diusahakan. PIKIR SENDIRI............................................................

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP