KOTA BHARU, 25 Jan: Penghulu seluruh Kelantan dicabar untuk terus menjadikan Kelantan istimewa dan berada di depan dalam kepimpinan peringkat akar umbi di negara ini. Demikian dinyatakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik di majlis penyampaian amanat dan angkat sumpah perlantikan penghulu di Balai Islam Lundang pagi ini.
"Sekejap tadi kita mendengar seorang penghulu membaca ayat-ayat suci al-Quran dipermulaan majlis dan saya dimaklumkan telah ramai di kalangan penghulu kita yang mampu menjadi imam solat," ujar beliau.
Semua ini katanya adalah ciri-ciri istimewa yang hanya ada di Kelantan dan ia perlu diperkukuhkan sehingga masyarakat di negara ini dapat menjadikan kita sebagai ikutan.
Beliau turut menarik perhatian berkenaan peristiwa Pemangku Raja yang menjadi imam solat hajat di Stadium Sultan Muhammad ke IV baru-baru ini.
"Mana ada negeri lain di negara ini yang pemangku raja sudi untuk jadi imam solat hajat dan ini adalah keistimewaan yang sungguh besar yang dikurniakan Allah kepada kita sekelian," katanya.
Berkaitan pembangunan yang pesat di Kelantan beliau menceritakan bagaimana pelawat bangsa India dari Kapar memberitahu rasa terkejut melihat Kelantan selepas 20 tahun tidak berkunjung ke sini.
"Kawan kita dari Kapar, seorang India beritahu saya bahawa selepas 20 tahun tidak datang ke Kelantan beliau amat terkejut mendapati pembangunan di negeri ini begitu pesat dengan pelbagai kawasan pertumbuhan baru," tambah beliau.
Nik Aziz bagaimanapun melahirkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir pemimpin masyarakat seperti penghulu yang belum dapat memperbaiki diri dengan meninggalkan amalan-amalan yang tidak sesuai dengan status seorang pemimpin.
"Bila kita dilantik, kita kena ingat kita bukan setakat wakil kerajaan di kampung tetapi wakil atau khalifah Allah SWT," jelasnya
Dengan itu beliau mahu semua penghulu tidak meninggalkan solat berjamaah di masjid, mengamalkan solat Dhuha, Qiamullail dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan perbuatan merokok.
Seramai 758 penghulu menerima watikah di majlis tersebut manakala 25 menerima anugerah mengenang jasa kerana tamat tempoh perkhidmatan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Ahmad Yakob, anggota Exco Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. bahan dari:harakahdaily.net
|
0 comments:
Post a Comment