Sunday, January 10, 2010

PAS bimbang 'tangan ghaib' dalangi serang gereja

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 9 Jan: PAS bimbang kejadian pengeboman beberapa gereja di Lembah Klang berpunca 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan perisatiwa tersebut mirip "peristiwa yang bersifat perkauman pada tahun 1987 yang bermula dari pertembungan antara Perdana Menteri yang pada waktu itu merupakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin MCA yang diketuai Datuk Lee Kim Sai".

Pertembungan tersebut, kata beliau, akhirnya mencetuskan kemarahan antara satu sama lain di kalangan orang-orang Melayu dan Cina yang merupakan dua kaum terbesar di negara ini.

"Akhirnya pemimpin pembangkang yang dikambinghitamkan dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di dalam Operasi Lalang sedangkan Najib dan Lee diberi cuti rehat ke Australia dan Umno berjaya mendapat kembali sokongan orang-orang Melayu dan MCA pula mendapat kembali sokongan orang-orang Cina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang turut ditahan tanpa alasan di bawah operasi tersebut.

Mahfuz menegaskan, PAS mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang menimpa gereja-gereja yang diserang dengan bom petrol itu.

"Tindakkan tersebut bukan sahaja berlawanan dengan Islam malah ia adalah tindakan yang tidak bertamadun," tegasnya lagi.

"Islam sangat mengambil berat soal hak-hak rumah ibadat hatta dalam peperangan sekali pun Islam menjamin keselamatan rumah ibadat agama lain," katanya.

Beliau mengulangi seruan ikhlas PAS kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya supaya menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul berkenaan penggunaan nama Allah melalui perbincangan yang sihat untuk mewujudkan perasaan saling memahami dan menghormati pegangan agama masing-masing.

"PAS meminta pihak yang cuba untuk mendapat dan meraih sokongan politik melalui tindakan mengadudombakan rakyat dengan menggunakan sentimen agama supaya menghentikan perbuatan terkutuk mereka," kata Mahfuz.

PAS, katanya lagi, mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama "bangun menolak politik murahan yang mengadudombakan rakyat sehingga sanggup mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah untuk kepentingan najis politik mereka".

Tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Tarbenlace di Taman Melawati disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya dan Gereja Chappel, Damansara.

berita dari: harakahdaily.net

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP