Thursday, October 15, 2009

Kes Bekas EXCO Didakwa Buat Tuntutan Berlebihan Ditutup - SPRM

ALOR SETAR, 15 Okt (Bernama) -- Kes siasatan terhadap bekas Exco kerajaan negeri Kedah, Muhammad Radzhi Salleh yang didakwa membuat tuntutan perjalanan tidak munasabah telah ditutup selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penyelewengan atau penipuan dilakukan ahli politik itu.

Pengarah SPRM Kedah, Idrus Jaafar berkata Timbalan Pendakwa Raya SPRM di Putrajaya yang meneliti laporan siasatan berpuas hati supaya kes itu ditutup kerana semua tuntutan Muhammad Radzhi disokong dengan dokumen, resit dan saksi.

"Kes itu disiasat mulai pertengahan tahun ini dan ditutup baru-baru ini (Oktober)," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra Aidilfitri SPRM di sini pada Khamis, Idrus berkata kes itu adalah antara empat kes tuduhan penyelewengan dan rasuah membabitkan ahli politik negeri ini yang disiasat pihaknya tahun ini.

Muhammad Radzhi, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lunas ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Masyarakat, mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas apabila keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Ogos lepas.

Idrus berkata tiga lagi kes membabitkan ahli politik yang didakwa rasuah atau melakukan penyelewengan masih disiasat.

Katanya dari Januari sehingga hari ini, SPRM Kedah menerima 565 maklumat dan daripada jumlah itu, hanya 317 kes atau kira-kira 56 peratus mempunyai unsur rasuah manakala 248 kes lagi tiada unsur rasuah.

"Maklumat ini menghasilkan 24 tangkapan melibatkan seorang penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Pofesional, sembilan orang dari kumpulan sokongan serta 14 orang awam dan rampasan bernilai RM26,689.

"Sebanyak 141 maklumat (kes) dari 248 yang tidak berunsur rasuah dirujuk untuk tindakan jabatan antaranya polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun terhadap pegawai mereka yang terbabit," kata Idrus.

Beliau berkata sebanyak 14 laporan SPRM diserahkan kepada jabatan atau agensi kerajaan membabitkan pegawai yang didapati melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataterib) 1993 untuk dikenakan tindakan tatatertib.


sumber: bernama.com

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP