17 September / 17 Ramadhan...
Nuzul Al Quran bererti penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.
Proses penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk manusia sejagat di alam buana ini. Firman Allah s.w.t. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….” ayat 185 surah al Baqarah.
Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak ada syak dan waham baginya seperti Firman Allah s.w.t. “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “ ayat 1-2 surah al Baqarah.
Penegasan kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “ ayat 23 surah al Baqarah. Golongan kuffar terus gagal menyahut cabaran Allah tersebut meskipun cabaran ini telah berlangsung semenjak 15 abad yang lampau!
Benarlah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruhNya sebagai rahmat bagi sekalian alam; Benarlah Islam sebagai agama Hanif yang diperakui dan diredhaiNya sepertimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19 “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”
Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang mencakupi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat.
Kegemilangan umat Islam silam seperti yang tercatat dalam tinta sejarah dunia jelas menunjukkan bahawa kehebatan umat Nabi Muhammad adalah terhasil daripada program tamrin,tanzim dan tarbiyah Nubuwah yang terencana dengan begitu halus dan rapi sehingga terbentuknya satu generasi yang digelar sebagai Generasi Al Quran yang cukup istimewa.
Generasi Al Quran ini telah membelanjakan seluruh kehidupan mereka untuk berjihad membawa cahaya dan panji-panji kebenaran Islam agar dapat dikecapi oleh manusia sejagat. Perjuangan dan pengorbanan mereka untuk membebaskan penghambaan sesama makhluk kepada pentauhidan terhadap yang Maha Esa; Menyelamatkan kekalutan nilai sosial ekonomi zaman Jahiliyah kepada kehidupan yang aman dan sejahtera dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sesama insan….. .
Alangkah sedihnya kegemilangan ketamaddunan terbina dek Generasi Al Quran ini gagal dipertahankan kelangsungannya. Umat Islam hari ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan mereka berbanding umat lain. Bahkan mereka bercakaran sesama sendiri; Perpecahan, peperangan saudara, pertelingkahan ideologi politik, penindasan dan pembolotan hasil ekonomi dan lain-lain lagi.
Kenapa boleh terjadi segala kekalutan dan kepincangan ini ??? Jawapannya umat ini telah meninggalkan ajaran dan petunjuk Al Quran ! Al Quran tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam merencana dan menentukan hala tuju setiap program,projek dan aktiviti kehidupan insan muslim. Hawa nafsu dan logical akal mendominasi setiap tindakan dan polisi yang digubal. Terikut-ikut dan terperangkap dalam teori dan ideologi golongan kuffar dalam mengurus tadbir negara dan ehwal umat Islam ; Umat ini telah kehilangan jati diri ; Hidup miskin dalam negara yang kaya dengan sumber hasil bumi. Menagih ihsan dan menjadi pengguna hasil rekacipta sains dan teknologi bakan Islam.
Bilangan umat ini ramai sepertimana yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah tetapi umpama air buih selepas banjir yang tiada kekuatan yang terumbang-ambing; Ramai yang menjadi hidangan diratah kerakusan golongan kuffar.
Adakah ini ciri-ciri khairul ummah seperti yang digambar dalam Al Quran ? Sesungguh umat ini mulia, kuat, gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam. Mereka membaca,meneliti dan menganalisa setiap ayat suci untuk dijadikan pedoman dan kunci kejayaan segala urusan duniawi dan ukhurawi mereka. Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al Quran telah diakui oleh perdana menteri Britain yang pertama “ Selama mana kitab ini (Al Quran) berada di tangan orang Islam,maka selama itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur Tengah”
Al Quran merupakan benteng terakhir agama yang menjaga keaslian dan kebenaran Agama Allah ini. Selama mana dipetahankan ajarannya maka selama itulah Islam akan kukuh di jiwa penganutnya. Jika Al Quran telah terpisah jauh daripada umat Islam,maka akan hilanglah kekuatan umat Islam. Akan tetapi jika umat Islam berpegang teguh dengan Al Quran,musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya.
Apabila Al Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa,maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya,tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.
Ayuh sempena menyambut hari Nuzul Al Quran tahun ini, setiap lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau perempuan, tua atau muda,kaya atau miskin kembalilah kepada Al Quran yang maha suci ini menerusi aktiviti dan program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Usaha kembali kepada Al Quran ini perlu dilakukan secara kolektif dan terancang oleh pihak kerajaan mahupun swasta.
Insya’ Allah dengan kesungguhan dan kesepaduan semua lapisan umat Islam dalam menghayati ajaran Al Quran, Generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan,yang disegani kawan dan dihormati lawan bakal menjelma lagi untuk membawa panji-panji keagungan Islam ke arah pembentukan sebuah Daulah Islamiah yang baik dan senantiasa beroleh keampunan Ilahi serta menabur khidmat bakti untuk umat manusia seluruhnya. Amin !
Disediakan oleh :
Mohamad Yusof Ong bin Abdullah
Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor
Nota: artikel ini diambil dari http://www.jais.net.my
0 comments:
Post a Comment