Monday, January 19, 2009

Ekonomi gawat:14 ribu sudah diberhentikan kerja dan 45 ribu lagi bakal menerima nasib yang sama.

Kenyataan mengenai hampir 45 ribu pekerja sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan sangat membimbangkan. Penutupan operasi selama dua atau tiga minggu membingungkan pekerja. Pekerja merasa keliru, sama ada majikan masih memerlukan mereka atau sebaliknya.

Rekod-rekod lepas, sehingga 12 Januari, sudah 14,000 pekerja dari pelbagai sektor diberhentikan. Ini berikutan kegawatan ekonomi dunia yang turut melanda negara.

Berita kekosongan 15 ribu pekerjaan yang berdaftar di bawah Kementerian Sumber Manusia menimbulkan banyak persoalan. Antaranya jenis pekerjaan yang kosong itu. Adakah pekerjaan yang kosong itu buruh binaan, buruh ladang atau seumpamanya?

Persoalan pengalaman kerja juga mempertikai kekosongan pekerjaan yang diwar-warkan. Sebilangan besar majikan meletakkan syarat pengalaman bekerja sebelum diterima di syarikatnya. Mana mungkin golongan muda ada pengalamn kerja jika tidak diberi peluang.

Negara sepatutnya menerima hakikat bahawa kegawatan ekonomi memang memberi kesan yang buruk dan ia mesti ditangani dengan usaha yang lebih rasional. Tiada untungnya jika kerajaan menafikan kesan kegawatan ekonomi kepada negara. Kenyataan sebenar mesti diterima dan bukannya mengeluarkan kenyataan politik semata-mata.

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP